ISKANDAR PUTERI – Terlalu menghormati lawan khususnya tidak ‘merantai’ Heberty Fernandes menjadi punca kekalahan Tok Gajah setelah penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu meledak hatrik pada aksi Liga Super, malam tadi.
Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad berkata, dia sudah memberi mengingatkan pemainnya supaya tidak memberi ruang kepada penyerang kelahiran Brazil itu yang mempunyai sentuhan kaki kiri yang berbisa.
Katanya, pemain yang berkualiti seperti Fernandes boleh menjadi pemusnah buat pasukan sekiranya dia dibiarkan bermaharajalela dan melakukan percubaan ke arah gawang.
“Kesilapan kita ialah tidak menutup ruang (buat Fernandes). Saya sudah memberitahu mereka yang Heberty (Fernandes) bahaya dengan kaki kirinya.
“Tidak ada orang yang melakukan terjahan, pemain kita cuma ikut sahaja. Mereka seharusnya mengawal ketatnya, sentuhan kaki kiri dia (Fernandes) sangat berbahaya,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Biarpun tewas 0-3, Fandi turut memuji pemain yang telah berusaha keras memberi tentangan sengit buat JDT walaupun tiada momentum perlawanan disebabkan tempoh rehat yang panjang.
“Mereka turun tanpa kelibat seperti Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri tetapi masih beraksi pada tahap terbaik. Kita cuba nak mencuri mata, namun hajat itu tidak kesampaian,” katanya.
Ditanya mengenai prestasi penyerang import, Kpah Sherman yang masih kemarau gol pada musim ini, Fandi tidak melihat situasi itu sebagai perkara yang membimbangkan.
“Pada tahun lalu, dia kerap menjaringkan gol tetapi untuk tahun ini sentuhan dia agak kurang, kombinasi gerakan dengan pemain tengah dan juga Mykola Agapov masih belum tajam dan mantap, mereka belum ada persefahaman.
“Penyerang yang bagus juga perlukan hantaran bola yang efektif dan tidak semestinya harus bersendirian mencipta gol. Justeru, kita harus sabar dan tak boleh tertekan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE