PETALING JAYA – Pendedahan status kesihatan Miza Ozawa ekoran aktiviti persundalan menimbulkan perbalahan antara pengguna media sosial yang menyifatkan ia sebagai isu yang sensitif.
Segelintir daripada mereka berpandangan bahawa perkara itu tidak wajar didedahkan kepada orang awam apatah lagi wanita berusia 27 tahun tersebut hamil enam bulan.
Menurut seorang wanita dikenali sebagai Rania, lazimnya, individu yang menghidapi penyakit HIV sering kali di diskriminasikan daripada segala aspek kehidupan.
“Majoriti masih rasa jijik dengan mereka yang hidup dengan HIV. Walaupun dia disabitkan dengan kesalah sebegitu, tak sepatutnya status HIV dia diletakkan di bawah ‘spotlight’ (perhatian).
“Lihat sahaja komen masyarakat, semua fokus kepada HIV. Siap cadang siapa yang pernah langgan (Miza) untuk pergi ‘check up’ (pemeriksaan),” katanya dalam hantaran di Facebook.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Miza Ozawa atau nama sebenar, Siti Amiza Baharuddin mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi atas pertuduhan mencari langganan dalam aktiviti persundalan.
Berikutan pendedahan tersebut, Rania turut mempersoalkan bagaimana wanita itu mahu berhadapan dengan masyarakat selepas ini.
“Apa tanggapan masyarakat kepadanya dan anak yang bakal dilahirkan olehnya akan menanggung beban malu yang tidak berpenghujung,” jelasnya.
Sementara itu, seorang pengguna lelaki dikenali sebagai Hazy berkata, laporan mengenai status kesihatan Miza Ozawa adalah sesuatu yang tidak beretika.
“Individu (dark side) kena tangkap siap media sebarkan status HIV dia kenapa? Dia hamil itu bolehlah sebab perut dah besar tak boleh sorok.
“Tetapi status HIV itu, maklumat kesihatan ini sensitif. Punyalah ‘unethical media reporting’ (laporan tidak beretika),” katanya di laman media sosial X.
Bagaimanapun, kenyataan tersebut yang mengundang pelbagai respons turut menerima bantahan daripada sesetengah pihak yang tidak bersetuju.
“Kalau info tak dilaporkan, berapa banyak lelaki dekat luar sana yang ambil servis dia tapi tak tahu dah berjangkit. Kemudian bawa balik ke anak isteri,” kata Agraban.
“Dia tawarkan servis yang mendatangkan penyakit. Kenapa nak tutup? Lainlan kalau kena tangkap mencuri, media sebarkan ada HIV,” ujar Shaaedah.
Berdasarkan modus operandi dia, memang wajib dedahkan. Kesian pula isteri-isteri di luar sana tak bersalah tiba-tiba dapat HIV sebab suami langgan perempuan lain,” jelas Ikram. – KOSMO! ONLINE