fbpx

Shereen, Azeem gagal raih tiket secara merit ke Olimpik – Ballard

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZEEM

KUALA LUMPUR – Hasrat dua pelari sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi dan Shereen Samson Vallabouy untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 secara merit tidak kesampaian selepas kedua-duanya gagal melepasi had kelayakan Olimpik dalam acara masing-masing, pada Terbuka Kazakhstan, lewat malam tadi.

Justeru itu, kedua-dua pelari yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu hanya menunggu kemas kini kedudukan ranking sama ada mereka berpeluang untuk ke Paris bulan depan atau terpaksa menggunakan talian hayat terakhir iaitu tiket wildcard dari Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Pengarah Kejurulatihan KOM, Robert Ballard berkata, peluang buat dua pelari terbabit terutama melangkah ke Sukan Olimpik Paris menerusi kelayakan ranking hanya boleh terjawab pada 30 Jun ini nanti.

“Ya tiada lagi peluang untuk layak secara merit dan kita perlu tunggu dan lihat, hanya menanti peluang menerusi ranking kelayakan,” kata Ballard.

Azeem yang juga jaguh pecut negara, hanya mampu menamatkan perlumbaan 100 meter (m) akhir pada kedudukan ketiga terpantas dengan catatan 10.37 saat (s) yang menyaksikan perlumbaan tersebut dimenangi pelari Thailand, Puripol Boonson dengan catatan 10.23s untuk meraih pingat emas.

Keputusan tersebut sekali gus menutup peluang Azeem untuk melangkah ke Sukan Olimpik Paris secara merit.

Pada aksi yang berlangsung di Almaty itu, acara akhir tiga kali terganggu ekoran berlaku ‘false start’ sebanyak tiga kali oleh tiga pelari berbeza hingga merencatkan momentum larian.

Pelari Turkiye, Ozer Kayhan diberikan amaran apabila melakukan false start yang pertama dan selepas itu, pelari Tajikistan, Favoris Muzrapov pula dilayangkan kad merah selepas turut melakukan kesalahan yang sama disusuli pelari Turkiye, Ertan Ozkan pula melakukan kesilapan.

Sementara itu, pelari 400m wanita negara, Shereen terus menyinar apabila meraih pingat emas selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan 52.60s selepas meninggalkan jauh pesaingnnya.

Catatan dilakukan Shereen bagaimanapun masih jauh dari rekod kebangsaan miliknya 51.79s yang dicatat awal bulan ini, dan misinya untuk mencapai had kelayakan 50.95s bagi mengesahkan tiket secara automatik juga terus terpadam.

Oleh itu, kedua-dua atlet yang berpangkalan di Amerika Syarikat mengharapkan tiket wildcard dari KOM tetapi badan induk sukan negara itu hanya mempunyai satu tiket wildcard untuk diberikan kepada mana-mana atlet yang berpotensi menyinar di temasya sukan empat tahun sekali tersebut. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN