SHAH ALAM – Kerajaan negeri mengesahkan penangguhan program ceramah dan kuliah agama membabitkan Ustaz Don Daniyal Don Biyajid atau lebih dikenali sebagai Ustaz Don di Selangor.
Sumber berkata, penangguhan membabitkan penceramah berkenaan merangkumi semua agensi dan institusi masjid, surau serta musollah.
“Ya ditangguhkan untuk semua masjid dan surau. (Sebab penangguhan) itu rujuk Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),” katanya ringkas ketika dihubungi Kosmo! menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad pula memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan berkaitannya esok.
“JAIS akan buat PR (kenyataan media) esok,” tegasnya.
Terdahulu, tular di WhatsApp mengenai notis dikeluarkan (JAIS) bertarikh 21 Jun lalu berhubung penangguhan program ceramah dan kuliah agama Ustaz Don di semua agensi dan institusi masjid, surau serta musolla di Selangor.
Penangguhan membabitkan semua program yang telahpun mendapat persetujuan awal untuk dilaksanakan dan termasuk sebarang program yang sedang di peringkat perancangan.
Sebelum ini, Ustaz Don berusia 40 tahun ditamatkan khidmatnya oleh RTM sebagai pengacara program Salam Baitullah.
Pendakwah selebriti itu turut memohon maaf berikutan memberi kenyataan mengelirukan di sebuah stesen radio berhubung ibadah berpuasa pada hari kedua, ketiga dan keempat Aidiladha. – KOSMO! ONLINE