KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tampil dengan memperkenalkan Kempen Strukturkan Pinjaman Anda Serendah RM300.
Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, kempen tersebut bukan hanya menawarkan pelbagai manfaat kepada peminjam malah, dianjurkan berikutan kesukaran peminjam yang terjejas dan terkesan dengan keadaan ketidaktentuan ekonomi ketika ini.
Kempen yang akan berlangsung dari 1 Jun lalu sehingga 31 Julai ini antara lain dapat membantu mengurangkan dan mencapai sifar tunggakan dan dapat memperbaiki rekod kredit peminjam.
“Diharapkan melalui kempen yang ditawarkan ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh peminjam PTPTN. Jangan lepaskan peluang untuk memastikan masa depan yang lebih cerah tanpa tunggakan.
“Komitmen peminjam yang membuat bayaran balik amatlah dihargai demi kelangsungan dana pinjaman pendidikan kepada anak-anak generasi akan datang, sekali gus memastikan tiada pelajar yang gagal memasuki Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) disebabkan masalah kewangan.
Melalui pelbagai usaha dan pendekatan mesra yang dilaksanakan PTPTN, diharapkan para peminjam mengambil peluang untuk membuat bayaran balik pinjaman dalam tempoh kempen ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas Norliza, semua peminjam PTPTN yang mempunyai tunggakan dalam tempoh kempen, sama ada pinjaman konvensional atau ujrah layak untuk menstruktur pinjaman.
“Peminjam yang mempunyai tunggakan perlu membuat bayaran tunggakan serendah RM300 sahaja untuk penstrukturan semula pinjaman dan diwajibkan untuk membuat potongan gaji atau debit terus sebagai kaedah bayaran balik.
“Ini bagi memastikan peminjam dapat membuat bayaran balik secara konsisten dan teratur,” katanya.
Selain penstrukturan, peminjam juga boleh membuat rundingan bayaran balik yang lain seperti pertukaran ujrah, penggabungan pinjaman dan penjadualan semasa tempoh kempen.
Boleh hubungi di careline PTPTN di 03-2193 3000, live Chat di portal PTPTN (www.ptptn.gov.my), E-Aduan PTPTN (https://eaduan.ptptn.gov.my/), Eksekutif Jualan PTPTN (https://www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn) serta media sosial rasmi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional Perbadanan Tabung .
Orang ramai boleh bertanya tentang kempen dan rundingan bayaran balik sama ada pertukaran ujrah, penggabungan, penjadualan atau penstrukturan semula pinjaman. -KOSMO! ONLINE