SEBERANG PERAI – Calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Joohari Ariffin mengakui tertekan susulan harapan tinggi yang diletakkan terhadapnya untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
Beliau walau bagaimanapun berkata, kekuatannya bertambah dengan sokongan jentera parti-parti komponen serta kepimpinan tertinggi yang memberikan sokongan tidak berbelah bahagi sepanjang kempen berlangsung.
“Secara peribadi, saya memang tertekan kerana semua memberikan meletakkan harapan tinggi, apatah lagi Sungai Bakap bukan ‘status quo’, maksudnya sebelum ini menang, sekarang menang, sebaliknya kini kita mahu menang di tempat yang kita kalah.
“Sebab itu kita perlu bekerja keras dan tidak mustahil 1,563 undi yang disifatkan penganalisis politik sebagai undi kelabu akan dapat kita putihkan,” katanya kepada pemberita semasa sesi ramah bersama media di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Simpang Ampat di sini hari ini.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pertembungan dua penjuru melibatkan dua parti politik terbesar negara ini iaitu Pakatan Harapan mewakili Kerajaan Perpaduan dengan Perikatan Nasional (PN) pada PRK Sungai Bakap.
Dr. Joohari atau lebih mesra disapa sebagai Dr. Joo merupakan bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara dan pernah bergelar warga pendidik manakala Abidin Ismail, 56, pula ialah bekas pegawai khas kepada Allahyarham Nor Zamri Latiff, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap. -KOSMO! ONLINE