PETALING JAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan melakukan operasi pembenihan awan (OPA) di Kelantan hari ini bagi meningkatkan paras air sungai di negeri itu.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, OPA itu dilakukan dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), KPKM, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Operasi ini bertujuan untuk meningkatkan paras air Sungai Kelantan agar dapat mengairi kawasan-kawasan pertanian yang terjejas ketika ini.
“Semoga inisiatif dari Kerajaan Persekutuan ini dapat membantu para petani dan pesawah yang terjejas ketika ini,” tulisnya di laman Facebook.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, OPA merupakan satu proses untuk menggalakkan pembentukan awan hujan.
Katanya, terdapat dua kaedah yang digunakan dalam OPA, iaitu pembenihan basah dan pembenihan kering.
“Pada pembenihan basah, larutan air garam dicampur dan disemprotkan ke awan untuk merangsang pembentukan titisan hujan.
“Manakala pada pembenihan kering, serbuk garam diterbangkan ke awan untuk tujuan yang sama,”jelasnya.-KOSMO! ONLINE