DISANGKAKAN panas sampai ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari. Siapa menduga dalam gelak ketawa juga mampu menyimpan 1,000 cerita yang tidak terungkap dek kata-kata.
Biar kocak di dasarnya sudah lama dihidu media, namun pengakhiran mahligai cinta Nora Danish dan Nedim Nazri sememangnya satu kejutan buat peminat.
Secara luaran, pasangan itu sedikit pun tidak mempamerkan keretakan hubungan terutama dalam media sosial sehinggalah tuan badan sendiri membuka mulut.
Awalnya rumah tangga mereka dikatakan mengalami masalah sekitar awal tahun lalu sehingga menyebabkan kedua-dua mereka sepakat untuk tinggal berasingan.
Bagaimanapun, sekitar April lalu, Nora dan bekas suami berusaha untuk mencari jalan penyelesaian meskipun tidak lagi tinggal sebumbung.
“Bercakap mengenai rumah tangga selepas tujuh tahun berkahwin, kami juga lalui pergolakan, tetapi kami cuba tangani sebaik mungkin.
“Saya tidak nafikan tinggal berasingan, kebetulan rumah kami juga dalam proses baik pulih.
“Sebelum ini kami tinggal di hotel, kemudian saya buat keputusan tinggal bersama ibu manakala Nedim duduk di rumah keluarganya,” kata Nora pada April lalu.
Pelakon filem Sayu Yang Syukur itu juga mengatakan dia dan bekas suami sudah tiga bulan tidak tinggal bersama.
Kemudian tanggal 19 Jun lalu menjadi jawapan kepada perkahwinan Nora dan Nedim yang berakhir dengan perceraian talak satu.
Mengakui bukan mudah untuk mengharungi perkara itu, Nora atau Nora Mohd Danish Hanif, 42, bagaimanapun reda dengan ketentuan takdir.
Malah dia dan Nedim atau nama lengkapnya Mohamed Nedim Mohamad Nazri, 41, tetap saling bersatu dalam membesarkan anak mereka.
“Manusia mempunyai dugaan yang berbeza, tetapi untuk capai tahap reda ini bukan mudah.
“Mungkin disebabkan pengalaman terdahulu mengajar kami agar tidak mementingkan diri dan tidak menyakiti hati orang lain terutama anak-anak.
“Kami tetap sayang anak-anak kami,” katanya.
Sementara Nedim yang merupakan seorang ahli perniagaan itu baru-baru ini memberi gambaran seolah-olah yakin bahawa jodohnya dengan Nora akan bertaut jika diizinkan Tuhan.
“Tiada apa yang berubah cuma dia (Nora) bukan milikku dalam Islam. Percayalah. Kalau dia milikku, dia akan kembali milikku,” katanya di Instagram.
Perpisahan mereka itu juga mengundang spekulasi apabila mengatakan segalanya berpunca akibat masalah kewangan.
Terdahulu Nora bahkan menafikan rumah masalah rumah tangga berpunca daripada kemunculan orang ketiga.
“Apa yang berlaku, tiada kena mengena dengan orang ketiga, lebih kepada persefahaman masing-masing. Rumah tangga mana tiada masalah.
“Saya sangkal dakwaan masalah kewangan menjadi punca perpisahan. Kami sudah duduk berasingan dan cuba selamatkan rumah tangga dibina tujuh tahun lalu. Kita hanya merancang, Allah yang menentukan,” jelasnya.
Menjengah ke laman Instagram Nora, foto bersama Nedim masih tersimpan kemas termasuk video dedikasi khas sempena ulang tahun perkahwinan mereka tahun lalu.
Dalam video itu Nora kongsikan beberapa momen indah bersama Nedim sejak awal perkahwinan dengan diiringi lagu Way After Forever nyanyian Vaultboy.
Marilah kita sama-sama mendoakan yang terbaik buat mereka atau mungkin akan disatukan semula satu hari nanti.
Nedim sebelum ini melafazkan talak satu di hadapan Hakim Syarie, Abdul Fattah Datuk Kamarudin pada pukul 8.34 malam pada 19 Jun lalu menerusi prosiding yang berjalan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta.
Nora dan Nedim mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl berusia enam tahun.
Sebelum ini, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Putra Rayqal, 15, sebelum bercerai pada 2008. Untuk kali ini, Nora dan Nedim, kedua-duanya tetap seri, kembali hidup solo setelah dua kali gagal mempertahankan perkahwinan, yang terdahulu dan kali ini.