PODGORICA, MONTENEGRO – Beberapa negara Balkan mengalami masalah terputus bekalan elektrik secara serentak, yang didakwa sebagai terbesar di rantau itu setakat ini, lapor saluran berita CNN semalam.
Gangguan itu melanda Montenegro, Bosnia, Albania dan sebahagian besar kawasan pantai Croatia di tengah-tengah gelombang haba kelmarin.
Menteri Tenaga Montenegro, Sasa Mujovic berkata, ia berlaku akibat peningkatan mendadak dalam penggunaan kuasa berikutan suhu tinggi dan haba yang membebankan sistem.
“Gangguan bekalan elektrik berlaku akibat beban berat pada rangkaian, peningkatan mendadak dalam penggunaan kuasa disebabkan suhu tinggi dan haba itu sendiri.
“Pakar masih cuba mengenal pasti punca gangguan itu,” katanya.
Masalah tersebut menyebabkan perniagaan di sejumlah kawasan ditutup, kesesakan lalu lintas dan orang ramai turut kehilangan bekalan air.
Pada masa sama, pegawai tempatan dan pengguna media sosial berkata, rangkaian elektrik dan Wi-Fi terputus sekitar pukul 1 tengah hari (waktu tempatan).
Sementara itu, syarikat utiliti di empat negara itu berkata, mereka mula memulihkan bekalan pada tengah hari, manakala sebahagiannya pada waktu petang. – AGENSI