fbpx

Mangsa kedua bot nelayan karam Tanjung Segenting ditemui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN penyelamat mengangkat mayat Hai Lian yang ditemui mati lemas hari ini dalam kejadian tragedi bot karam di Tanjung Segenting, Minyak Beku, Batu Pahat, Jumaat lalu. Foto IHSAN APMM

BATU PAHAT – Mangsa kedua tragedi bot nelayan tenggelam Jumaat lalu di Tanjung Segenting, Minyak Beku, di sini, ditemui terdampar di Pantai Koris oleh orang awam pada 11.30 pagi hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd. Haniff Mohd. Yunus berkata, mayat mangsa, Tan Hai Lian, 62, diserahkan kepada pihak polis seterusnya ke Hospital Sultanah Nora Ismail bagi tindakan selanjutnya.

“Operasi yang memasuki hari ketiga hari ini diperluaskan merangkumi keluasan 129 batu nautika persegi di laut dan keluasan sektor pencarian 104 batu nautika persegi oleh pesawat udara,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohd. Haniff berkata, mangsa pertama yang juga tekong bot, Chiah Kah Chong, 53, ditemui mati lemas di lokasi kejadian kira-kira pukul 7 malam semalam.

Terdahulu Kosmo! melaporkan, pada kejadian pada pukul 6 pagi Jumaat lalu, empat dilaporkan hilang selepas bot dinaiki lima nelayan dilaporkan terbalik dan tenggelam akibat cuaca buruk di perairan Tanjung Segenting, di sini.

Seorang mangsa, Tan Siak Bin, 43, bagaimanapun terselamat dalam kejadian itu selepas ditemui nelayan lain yang kebetulan melalui lokasi kejadian menjadikan dua lagi mangsa belum ditemui iaitu Lee Poh Ling, 68, dan Daud Darus@Hamid, 53. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI