fbpx

Malaysia B-16 buru tiga mata pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD muda negara berkeyakinan tinggi mampu mengutip tiga mata penuh ke atas Timor Leste malam ini. - FAM

SKUAD bawah 16 (B-16) kebangsaan tekad untuk memulakan kempen Piala ASEAN B-16 2024 dengan langkah kanan menjelang aksi pertama Kumpulan C bertemu Timor Leste di Stadium Sriwedari, Surakarta, Indonesia malam ini.

Kapten skuad remaja Harimau Malaya, Muhammad Amar Imran Uzaini Ashadi berkata, fokus pasukan ketika ini untuk memastikan tiga mata dapat diraih ketika bertemu Timor Leste nanti.

“Secara peribadi, kami sebagai pasukan tidak pernah fikir tentang kekuatan pasukan pesaing dalam Kumpulan C seperti Timor Leste, Australia atau Thailand.

“Lebih baik kita fokus pada diri sendiri dengan berusaha untuk melakar kemenangan pada perlawanan pertama nanti.

“Semua tahu aksi pertama agak sukar dan macam-macam boleh jadi tetapi kita perlu berusaha untuk dapatkan tiga mata,” kata pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) IV yang beraksi di posisi pertahanan tengah itu.

Mengulas lanjut, Amar Imran menyeru rakan-rakan sepasukan untuk mempamerkan belang sebenar di peringkat Asia Tenggara dahulu sebelum boleh memikirkan tentang mara ke Piala Dunia B-17 tahun depan.

“Meskipun kami baru berusia 16 tahun, kami tetap memasang impian untuk ke Piala Dunia B-17. Perjalanan ini agak susah tetapi tidak mustahil dicapai dan kita boleh ke sana satu hari nanti,” katanya.

Selepas saingan Piala ASEAN B-17 2024 yang akan berakhir pada 4 Julai depan, skuad remaja kendalian Javier Jorda Ribera akan mengalihkan fokus untuk aksi kelayakan Piala Asia B-17 2025 yang akan berlangsung pada Oktober depan.

Dua pasukan terbaik pusingan kelayakan akan meraih slot ke pusingan akhir Piala Asia B-17 2025 sekali gus mencerahkan peluang ke Piala Dunia B-17 2026 kerana kali ini slot automatik diberikan kepada benua Asia.

 

INFO

PIALA ASEAN B-16 2024

KUMPULAN C

HARI INI

Thailand lwn Australia
Stadium Sriwedari, Surakarta, 4 ptg

Malaysia lwn Timor Leste
Stadium Sriwedari, Surakarta, 8.30 mlm

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN