fbpx

Lelaki ceroboh rumah didakwa kurang siuman – Wawa Zainal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
INDIVIDU yang menceroboh rumah Aeril dan Wawa dipercayai tidak siuman.

PETALING JAYA – Identiti individu misteri yang menceroboh kediaman pasangan pelakon Aeril Zafrel dan Wawa Zainal terjawab apabila ibu lelaki terbabit tampil membuat permohonan maaf baru-baru ini.

Kata Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, 32, hasil daripada perkongsian dalam media sosial Instagram, dia berjaya menjejaki identiti lelaki terbabit yang didakwa kurang siuman oleh ibunya.

“Apabila berkongsi tentang perkara itu dalam media sosial, kami menerima banyak kiriman mesej yang mengatakan mengenali lelaki berkenaan.

“Dalam banyak kiriman mesej itu, ada seorang wanita mengaku lelaki terbabit adalah anaknya dan meminta untuk bertemu dengan kami.

“Ketika pertemuan itu wanita terbabit menjelaskan bahawa anaknya tidak normal dan memohon maaf selain berjanji perkara itu tidak akan berulang lagi,” jelasnya dalam sebuah program hiburan hari ini.

Sementara itu, Aeril atau nama sebenarnya Suhairl Sunari, 35, memberitahu, dia menemui beberapa benda asing hasil pemeriksaan sekitar kawasan rumah.

Katanya, selepas bertanyakan kepada pengamal perubatan Islam, dipercayai benda asing yang ditemui itu bertujuan untuk sihir pemisah.

“Selepas perkara itu berlaku saya membuat pemeriksaan di sekitar kawasan rumah dan menjumpa benda yang sangat asing pada saya.

“Apa yang saya risau keadaan lelaki itu kerana bimbang ada pihak lain yang meminta dia melakukannya.

“Saya ada bawa benda itu bertemu dengan orang bijak pandai dan mereka mengatakan itu sihir pemisah. Syukur saya dan keluarga tidak mengalami sebarang gangguan mistik kerana barang itu berjaya ditemui lebih awal,” jelasnya.

Aeril dan Wawa menyedari kediamannya dimasuki seorang lelaki tidak dikenali apabila dimaklumkan jiran.

Kejadian terbabit difahamkan berlaku sekitar pukul 1.40 pagi dua minggu lalu.

Susulan itu, pasangan berkenaan membuat laporan polis bagi mengelakkan kejadian berulang selain bimbang keselamatan ahli keluarga terancam.

Aeril kemudian mengambil keputusan untuk memadam perkongsian mengenai lelaki itu dalam Instagram. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI