fbpx

KPDN beri kelulusan serta-merta permohonan lengkap SKSD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memberikan kelulusan serta-merta bagi permohonan lengkap Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang meliputi 33 jenis pengangkutan darat awam dan barangan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, permohonan boleh dibuat melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my/ dan surat kelulusan akan dikeluarkan serta-merta untuk membolehkan syarikat pengangkutan yang berjaya terus membuat permohonan fleet card kepada syarikat minyak pilihan melalui sistem yang sama.

“Proses permohonan adalah mudah dan cepat kerana syarikat hanya perlu mengisi maklumat terhad dan pengesahan boleh dibuat segera melalui integrasi dengan sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Sehubungan itu, syarikat-syarikat yang tersenarai dalam 33 jenis pengangkutan darat awam dan barangan yang berkelayakan adalah disarankan membuat permohonan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, kelulusan yang diperolehi sehingga 30 Jun ini membolehkan syarikat pengangkutan memohon bayaran tuntutan balik kadar perbelanjaan atas harga subsidi melalui bukti resit pembelian sehingga syarikat pengangkutan menerima fleet card daripada syarikat-syarikat minyak pilihan.

“Selaras dengan kenyataan Kementerian Kewangan (MOF) pada 12 Jun lepas, bayaran tuntutan balik akan dilaksanakan bermula Julai ini untuk mereka yang mendaftar dan mendapat kelulusan SKDS
sehingga 30 Jun sahaja.

“Prosedur permohonan tuntutan dan tatacara pembayaran balik akan dimaklumkan oleh MOF dalam masa terdekat,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Armizan berkata, pihaknya ingin mengingatkan semua syarikat yang telah diluluskan SKDS agar tidak menyalah gunakan fleet card yang diberikan bagi tujuan selain daripada syarat kelayakan permohonan kenderaan yang telah diluluskan.

“Sekiranya berlaku penyalahgunaan fleet card oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, KPDN tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk menarik balik kelulusan fleet card kenderaan terbabit,” katanya.

Beliau berkata setakat pukul 8 pagi, hari ini, jumlah keseluruhan kenderaan pengangkutan awam dan barangan yang diluluskan subsidi diesel di bawah SKDS ialah sebanyak 226,957 melibatkan 75,541 syarikat.

“KPDN juga sedang menyelaraskan rayuan-rayuan sektor pengangkutan tertentu yang ingin menyertai SKDS untuk dibawa kepada Jawatankuasa Rayuan yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi dan seterusnya diangkat untuk pertimbangan mesyuarat Jemaah Menteri.

“Kementerian juga ingin menegaskan agar semua peniaga terutama kepada mereka yang menerima kemudahan subsidi diesel melalui fleet card tidak menaikkan harga dengan memberikan alasan penetapan harga diesel baharu sebagai punca kenaikan harga barangan atau perkhidmatan mereka,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI