fbpx

Kelajuan angin 70 kmsj akibatkan ribut di Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah rumah di Kampung Changhai di Changlun yang terjejas akibat ribut, awal pagi ini. Foto oleh SHAHIR NOORDIN/KOSMO!

ALOR SETAR – Stesen meteorologi Alor Setar merekodkan kelajuan angin kira-kira 70 kmsj (kilometer sejam) pada pukul 2.30 pagi tadi yang mencetuskan kejadian ribut di beberapa kawasan di negeri ini.

Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) Kedah, Muhammad Khalil Abd Aziz berkata, kelajuan angin dipercayai lebih tinggi di kawasan kampung tetapi tidak dapat direkodkan kerana tidak mempunyai stesen meteorologi.

“Kita andaikan pergerakan angin di kawasan kampung-kampung lebih laju apabila melihat keadaan rumah penduduk yang agak teruk termasuk pokok tumbang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, katanya, rantau negara dijangka menerima tiupan angin baratan kencang sehingga pertengahan tempoh ramalan iaitu 25 atau 26 Jun.

“Selepas tempoh tersebut, angin mulai melemah dan angin dari pelbagai arah mula bertiup di rantau negara sehingga akhir tempoh ramalan,” ujarnya.

Kata beliau, pengaruh angin baratan dijangka berpotensi bagi pembentukan garis badai pada awal pagi di pantai barat Semenanjung Malaysia, utara Sarawak dan barat Sabah.

“Kejadian ribut petir dijangka berlaku pada sebelah petang dan boleh berlarutan hingga ke malam terutama di kawasan pedalaman dan pantai timur Semenanjung Malaysia, barat dan pedalaman Sabah serta utara dan pedalaman Sarawak sepanjang tempoh ramalan iaitu sehingga 29 Jun,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI