fbpx

Kedudukan 6 Ahli Parlimen Bersatu antara tumpuan sidang Dewan Rakyat esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kedudukan enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) antara tumpuan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat yang bermula esok.

Ini kerana keenam-enam Ahli Parlimen itu telah terhenti keahlian mereka dalam Bersatu secara serta-merta selepas menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

Ia melibatkan Ahli Parlimen Jeli dan Gua Musang (Kelantan), Bukit Gantang dan Kuala Kangsar (Perak), Tanjong Karang (Selangor) dan Labuan (Wilayah Persekutuan).

Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee juga mengeluarkan notis pemakluman kekosongan kerusi enam Ahli Parlimen Bersatu itu dan telah menyerahkan perkara itu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Malah pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengambil maklum perkara itu dan menurut beliau Johari akan memutuskan kedudukan enam Ahli Parlimen tersebut.

Jadi, sama ada keenam-enam mereka kekal sebagai Ahli Parlimen atau sebaliknya bergantung kepada keputusan yang akan dibuat Johari.

Sebelum ini, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah telah mengumumkan kekosongan bagi kerusi DUN Nenggiri bermula Rabu lalu.

Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu mengenai keahlian ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim yang terhenti serta-merta.

Sementara itu, berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen Malaysia, antara isu yang akan dibangkitkan pada hari pertama Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 esok adalah berkaitan isu kenaikan harga keperluan asas.

Perkara itu akan dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot, manakala Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang akan membangkitkan isu bagi mempertahankan kedaulatan rakyat Palestin di Gaza.

Isu lain yang akan dibangkitkan adalah berkaitan persiapan sempena Tahun Melawat Malaysia, isu taska tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta kemalangan melibatkan kenderaan berat.

Turut akan dibangkitkan isu berkaitan kapal LCS, tuntutan oleh Kumpulan Sulu serta penguatkuasaan terhadap penjualan diesel dan RON95 bersubsidi kepada warga asing.

Untuk makluman, Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 Dewan Rakyat berlangsung selama 15 hari iaitu dari 24 Jun hingga 18 Julai.

Bagi Dewan Negara, ia akan berlangsung selama lapan hari iaitu bermula dari 22 Julai hingga 1 Ogos. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI