GADIS cantik dari Cheras, Selangor, Hani Izzati Abdul Rauf mengakui dirinya sering tertekan kerana terlalu sibuk dengan urusan kerja harian.
Selain menjadi pencipta kandungan, graduan sarjana muda berusia 24 tahun ini juga bergelar model dan usahawan.
Bagi melepaskan stres, dia yang mesra dipanggil Hani melakukan terapi ‘cafe hopping’ dengan mengunjungi lima kafe dalam satu hari bersama rakan-rakan untuk menikmati setiap makanan serta minuman berbeza di setiap kedai.
Kepada Kosmo! Ahad, Hani berkongsi kisah dirinya sebagai seorang pencipta kandungan, model dan juga usahawan muda.
KOSMO! AHAD: Ceritakan mengenai personaliti anda.
HANI: Saya mempunyai personaliti ambivert, periang dan tegas. Saya suka baca buku dan jika membaca, saya boleh habiskan satu buku hanya dalam satu hari.
Apakah perniagaan yang sedang dilakukan?
Hani menjalankan perniagaan bersama kakak dengan menghasilkan produk lipmatte, ‘noblehuesmy’.
Apakah cabaran menjadi usahawan muda?
Cabaran apabila masih tiada rangkaian sosial serta sokongan orang ramai, kita perlu berusaha keras ke arah itu.
Kenapa mahu menjadi pencipta kandungan?
Banyak ganjaran yang diperoleh, antaranya saya boleh tahu lebih lanjut tentang jenama-jenama produk kecantikan terkenal serta menjadi lebih kreatif dan terkenal di media sosial.
Bagaimana Hani mula dikenali di media sosial?
Saya mula dikenali dengan video tutorial cara pemakaian hijab. Disebabkan ini, saya mahu menceburi dunia fesyen pula biarpun pernah dikecam tentang gaya tudung yang dipamerkan di media sosial.
Siapa sumber inspirasi fesyen Hani?
Hani sering merujuk di platform Pinteres dengan mengambil banyak ilham tentang gaya fesyen yang sesuai dengan estetika saya.
Kenapa tidak meneruskan kerjaya dalam bidang perakaunan dan perbankan?
Saya pernah bekerja dalam bidang ini, memang seronok, tetapi buat masa ini, saya anggap rezeki dan takdir telah menjadikan Hani sebagai usahawan muda.
Bagaimana cara kurangkan stres?
Saya sering melakukan terapi ‘cafe hopping’. Saya juga suka membeli-belah kerana ia boleh hilangkan stres.
Apakah rancangan pada masa depan?
Mahu memulakan perniagaan sendiri dalam bidang fesyen.
Apakah ciri-ciri lelaki idaman Hani?
Hani suka lelaki yang penyabar, sopan santun, berwawasan serta seorang yang boleh membimbing saya. -KOSMO! ONLINE