MEKAH – Kesan haji mabrur tidak boleh dilihat dengan bersandarkan satu tempoh tertentu sama ada ketika berada di Tanah Suci Mekah atau sekembalinya di tanah air.
Pembimbing Ibadat Tanah Suci (Pihtas), Ustaz Mohamad Abdullah berkata, ia sebaliknya merupakan proses yang perlu dilakukan secara berterusan dan sepanjang hayat.
Katanya, seseorang individu juga perlu berusaha sebaik mungkin untuk mengekal haji mabrur sama ada sekembalinya dari Tanah Suci atau ketika melaksanakan rukun Islam Kelima itu.
“Sifat haji mabrur itu sendiri bukanlah perjalanan sekali sahaja dalam satu perjalanan sebagaimana kita lihat ketika tibanya musim haji.
“Ia sebaliknya merupakan proses berterusan sehingga seseorang itu pergi menghadap Allah SWT,” katanya ditemui pemberita semalam.
Tambahnya Mohamad lagi, proses bagi mengekalkan haji mabrur juga perlu disusuli dengan amalan lain sebagai pengukuhan ibadat dan kekal istiqomah apabila kembali dari mengerjakan haji.
“Antara amalan yang perlu dilaksanakan ialah zikrullah. Ia menjadi pendorong untuk seseorang itu mengekalkan haji mabrur dan sentiasa mengingati Allah SWT.
“Bukan mudah untuk meraih haji mabrur. Namun tidaklah sukar memperolehnya jika jemaah haji itu meletakkan sepenuh keikhlasan dan jiwa raganya dalam mengerjakan ibadah kerana Allah SWT,” jelasnya.
Menurut Mohamad lagi, pengertian penghayatan haji sepanjang hayat juga bermaksud bahawa apabila jemaah kembali ke tanah air, sikap untuk berubah ke arah lebih baik mesti ada pada diri. – KOSMO! ONLINE