fbpx

Filipina tidak gentar kepada ancaman asing 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar menunjukkan bot Pengawal Pantai China (kiri) mendekati bot tentera Filipina (tengah) dalam insiden di Beting Thomas Kedua pada 17 Jun lalu. - AFP 

MANILA – Presiden Ferdinand Marcos hari ini menyatakan bahawa Filipina tidak gentar kepada mana-mana pihak selepas insiden pertempuran ganas berlaku antara tentera laut negara itu dengan Pengawal Pantai China di Laut China Selatan pada minggu lalu.

Konfrontasi tersebut berlaku pada Isnin lalu ketika sebilangan anggota Pengawal Pantai China menggagalkan percubaan menghantar bekalan kepada tentera Filipina yang ditugaskan di sebuah kapal perang terbiar. 

Insiden di Beting Thomas Kedua itu merupakan yang terbaharu dan paling serius dalam siri konfrontasi yang semakin meningkat antara China dan Filipina sejak beberapa bulan kebelakangan ini. 

“Kami tidak akan gerun atau ditindas oleh sesiapa pun,” kata Marcos dalam ucapannya semasa lawatan ke ibu pejabat tentera Laut China Selatan Filipina di Pulau Palawan. 

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah Filipina untuk tunduk kepada mana-mana kuasa asing,” tambahnya.

Seorang kelasi Filipina kehilangan ibu jari dalam pertempuran itu, selain menuduh anggota Pengawal Pantai China menggunakan pisau, kayu dan kapak.

Manila turut menuduh anggota China mencuri atau merosakkan peralatan mereka termasuk senjata api dan bot getah.

Beijing dalam pada itu menegaskan bahawa Pengawal Pantainya berkelakuan ‘profesional dan terkawal’ serta menyalahkan Manila atas pertembungan tersebut.

Beting Thomas Kedua terletak kira-kira 200 kilometer dari Pulau Palawan di barat Filipina dan lebih 1,000 kilometer dari daratan terdekat China, iaitu Pulau Hainan. 

Beijing menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan dan mengetepikan tuntutan bertindih oleh negara-negara rantau Asia Tenggara. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI