LEIPZIG – Jurulatih Perancis, Didier Deschamps enggan menekan butang panik selepas melihat jentera serangannya ‘tumpul’ ketika seri 0-0 bertemu Belanda pada aksi Kumpulan D saingan Euro 2024 di Stadium Red Bull Arena awal pagi semalam.
Menurut Deschamps, pasukannya kalau boleh mahu mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik lebih awal tetapi tidak kesampaian kerana Belanda mempamerkan corak permainan bertahan sepanjang perlawanan.
“Saya rasa Belanda tidak bermain secara terbuka seperti biasa dan lebih defensif sepanjang saingan. Namun, saya tidak mahu salahkan taktikal lawan kerana kita juga ada kelemahan yang mana jentera serangan serba tidak menjadi kali ini.
“Namun, barisan pemain sudah berusaha sebaik mungkin untuk mencari gol tetapi tidak berjaya. Jika gagal menerjah jaring pasukan lawan, mustahil pasukan dapat pulang dengan tiga mata berharga.
“Secara keseluruhan, saya lihat pasukan masih lagi kepenatan selepas perlawanan bertemu Austria awal minggu ini. Cuma, saya harap beberapa kelemahan yang ada dapat diperbaiki sebelum mengharungi perlawanan terakhir nanti,” katanya.
Sementara itu, Deschamps mengakui tidak menyesal apabila bertegas untuk tidak menurunkan penggempur utama yang juga kapten pasukan, Kylian Mbappe kerana belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan patah hidung yang dialami sebelum ini.
“Keadaan Mbappe semakin baik tetapi saya tidak mahu mengambil risiko. Jika ini perlawanan hidup mati pasukan mungkin saya perlukan khidmatnya tetapi kita masih ada satu lagi aksi terakhir kumpulan yang bakal diharungi minggu depan,” katanya. – AGENSI