BEIJING – Seramai 12 pelancong diharamkan daripada melawat Pangkalan Penyelidikan Pembiakan Panda Gergasi di bandar raya Chengdu, barat daya China, lapor saluran berita CNN kelmarin.
Individu berumur antara 26 tahun hingga 61 tahun itu turut dikenakan larangan seumur hidup.
Larangan itu dikuatkuasakan selepas mereka didapati berkelakuan buruk semasa berada di tempat tersebut sama ada membaling rebung, batang lolipop, rokok, telur atau roti dan meludah di kawasan permainan .
Kewarganegaraan kesemua pelawat tersebut bagaimanapun, masih belum dikenal pasti.
Menurut pusat pembiakan panda berkenaan, semua kesalahan itu berlaku antara April hingga Jun tahun ini.
Pangkalan yang merupakan salah satu tarikan pelancong paling popular di Chengdu itu mempunyai arahan terperinci berhubung kelakuan pelancong di laman webnya.
“Perbuatan membuang sampah merata-rata, meludah, membuang makanan ke dalam kawasan aktiviti haiwan dan tingkah laku lain yang mengancam keselamatan haiwan ini adalah dilarang sama sekali,” demikian menurut arahan tersebut. – AGENSI