KLANG – Kertas cadangan daripada firma penerokaan dasar laut, Ocean Infinity termasuk penemuan isyarat baharu pesawat Malaysia Airlines MH370 sedang diteliti sebelum pelantikan syarikat tersebut bagi tujuan operasi pencarian.
Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata, perbincangan telah dibuat bersama firma tersebut yang telah menyertakan sekali kertas cadangan sebelum dibentangkan kepada kabinet.
“Itu adalah cadangan daripada Ocean Infinity (berhubung isyarat baharu yang dikatakan dari lokasi MH370). Apa-apa maklumat baharu sudah tentu akan diambil kira pihak mereka.
“Ocean Infinity adalah syarikat yang bertanggungjawab atau terlibat dalam misi pencarian. Mereka ada teknologi dan underwater submarine melihat dan kesan mana kapal MH370 itu.
“Kita sedang menilai (kertas cadangan) dan selepas itu akan dibentangkan kepada kabinet sebelum melantik Ocean Infinity sebagai syarikat terlibat dalam operasi ini,” katanya pada sidang akhbar selepas perasmian perjalanan dan persinggahan sulung kapal kontena, M.V. MTT Bintangor di sini, hari ini.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan misteri yang menyelubungi kehilangan pesawat MH370 berpotensi dapat diselesaikan tidak lama lagi apabila sekumpulan penyelidik Britain memaklumkan menemui isyarat yang dikatakan berasal dari lokasi pesawat tersebut.
Mikrofon bawah air dikenali sebagai hidrofon, dilaporkan mengesan isyarat pada masa yang sama kapal terbang tersebut dipercayai terhempas pada 8 Mac 2014.
Isyarat selama enam saat itu ditemui oleh kumpulan penyelidik dari Cardiff.
Pada 8 Mac 2014, pesawat Boeing 777 yang membawa seramai 239 penumpang termasuk anak kapal itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing namun hilang daripada skrin radar dua jam selepas penerbangan.
Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat digerakkan secara besar-besaran oleh beberapa negara di kawasan berkeluasan jutaan kilometer persegi di selatan Lautan Hindi namun bangkai atau pesawat berkenaan gagal ditemui sehingga kini. – KOSMO! ONLINE