fbpx

Tak sihat macam dahulu, konsert 2-3 jam okey – Awie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AWIE mengakui stamina dan kesihatannya kini tidak seperti sebelum jatuh sakit beberapa tahun lalu.

KUALA LUMPUR: “Belum pulih sepenuhnya tetapi saya okey”.

Demikian kata penyanyi rock Datuk Awie berhubung tahap kesihatannya selepas menjalani pembedahan membuang tumor pada buah pinggang pada 2021.

Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 56, berkata, meskipun kesihatannya semakin pulih namun, keadaannya tidak lagi seperti dahulu dan mempunyai batasan dalam menjalani rutin harian.

“Tidaklah sihat seperti dahulu tetapi untuk lakukan konsert selama dua hingga tiga jam itu masih mampu.

“Menyanyi, buat konsert dan berada di atas pentas adalah terapi buat minda saya,” kata vokalis kumpulan Wings itu.

Awie mengaku, beliau masih perlu berhati-hati dalam melakukan aktiviti harian terutama bersenam selepas menjalani pembedahan.

“Doktor tidak sarankan saya buat senaman berat. Jadi, saya cuba lakukan secara sederhana untuk kekalkan kecergasan badan dan stamina.

“Saya pernah janji pada diri sendiri untuk menjaga kesihatan kerana saya ada isteri dan anak-anak. Saya tidak mahu susahkan isteri,” ujarnya.

Terdahulu, Awie menjalani pembedahan membuang tumor pada buah pinggangnya di sebuah hospital swasta di ibu kota pada tiga tahun lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan hanya diketahui keluarga sahaja.

“Saya tiada pilihan, selepas berjumpa doktor dan melihat sendiri bacaan imbasan 95 peratus badan saya ketika itu sudah dijangkiti kanser.

“Suka atau tidak saya harus bersedia melakukan pembedahan walaupun kosnya sangat tinggi. Saya perlu lakukan demi keselamatan diri. Jadi, pembedahan dilakukan selepas empat bulan saya mendapatkan rawatan di hospital,” tutur Awie.

Menurut Awie, beliau hanya dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta selama tiga hari berikutan kes Covid-19 sedang serius ketika itu.

Awie ditemui pada majlis sidang media konsert solonya Journey Awie bagi meraikan perjalanan karier solonya selama 30 tahun di sebuah pusat hiburan baru-baru ini.

Menyentuh tentang konsert solo terakhir sempena 30 tahun perjalanannya dalam arena muzik, Awie berjanji bakal memberi pengalaman istimewa buat peminat yang hadir.

“Konsert ini berbeza, selain pemuzik iringan yang terbaik di Malaysia, saya akan menampilkan sebanyak 36 buah lagu daripada 60 buah lagu yang dipilih pada peringkat awal.

“Selain itu, saya juga akan berkongsi rahsia seorang anak seni kepada peminat yang hadir nanti. Alhamdulillah, tiket kategori Gold, Silver dan Platinum sudah habis dijual dan pihak penganjur terpaksa membuka jualan tiket tambahan kerana permintaan yang cukup hangat,” kata Awie.

Konsert Journey Awie yang dibawakan TruePixel Sdn Bhd dengan kerjasama Rumah Produksi Merah itu bakal berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 3 Ogos.

Buat peminat anda boleh dapatkan tiket menerusi laman web, www.pixeltix.com.my bermula Khamis lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI