PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Raja Bhutan, Raja Jigme Khesar Namgyel Wangchuck di Istana Bukit Serene, Johor Bahru hari ini.
Sesi mengadap bersama Seri Paduka Baginda berlangsung kira-kira dua jam dan tetamu diraja turut diraikan dalam satu majlis santapan tengah hari bersama Seri Paduka Baginda dan Pemangku Sultan Johor.
“Saya juga telah membawa Raja Bhutan ke sekitar Johor Bahru dan baginda telah menyatakan hasrat datang semula bersama keluarga untuk bercuti di Johor.
“Baginda juga memanjangkan hasrat menjemput saya ke Bhutan dalam mengeratkan hubungan dua hala antara Bhutan dan Malaysia,” titah Sultan Ibrahim.
Mengiringi bersama Seri Paduka Baginda adalah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim. – KOSMO! ONLINE