SEBERANG PERAI – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedia mengambil tindakan terhadap pihak yang memuatnaik komen jelik membabitkan isu 3R iaitu raja, agama dan kaum menerusi platform sosial secara langsung (live).
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, peringatan sama diberikan terhadap pengguna media sosial meliputi calon dan penyokong Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang terlibat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
Menurutnya, penyokong kedua-dua calon terbabit diminta agar sentiasa beradab dan berkelakuan baik terutama dalam media sosial.
“Kerisauan kita adalah orang yang menggunakan akaun palsu untuk cuba mengeruhkan keadaan dan mengeluarkan kenyataan yang tidak baik.
“Ramai beranggapan kalau tinggalkan komen jelik dalam FB ‘live’ dan Tik Tok ‘live’ ini tidak akan ada kesan kepada mereka, tapi sebenarnya tidak ya, dan kita nak maklumkan pemantauan ini sentiasa berjalan.
“Sekiranya ada mana-mana pihak yang menggunakan platform media sosial termasuk sesi ‘live’ dengan menyentuh isu 3R dan melanggar undang-undang, maka MCMC akan ambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon PRK DUN Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Sungai Jawi, hari ini. – KOSMO! ONLINE