JAKARTA – Perbuatan seorang pengunjung yang selamba mencampakkan plastik ke dalam mulut seekor badar air di Taman Safari Bogor, Indonesia mengundang perhatian orang ramai, lapor akhbar Detiknews semalam.
Naib Presiden Media, Acara dan Digital Taman Safari Indonesia, Alexander Zulkarnain berkata, identiti pelaku masih belum dikenal pasti tetapi laporan polis telah dibuat.
Menerusi rakaman kejadian yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @avindadip, pengunjung itu dilihat mencampakkan plastik sampah ke dalam mulut haiwan berkenaan.
Lebih mengejutkan, dia turut memasukkan lobak merah ke hidung badak berkenaan tanpa rasa bersalah atau malu.
“Terima kasih kepada netizen yang memberitahu mengenai kejadian ini. Kakitangan kami dengan segera melaksanakan langkah-langkah tertentu,” kata Alexander.
Dia juga menambah, keadaan badak air itu baik setakat ini selepas menjalani pemeriksaan dan rawatan oleh kakitangan safari.
“Gila betul orang ini, dia memasukkan lobak merah bukan ke mulut tapi hidung badak air. Lihatlah reaksi haiwan itu,” kata seorang netizen. – AGENSI