SUNGAI PETANI – Seorang penghantar makanan meninggal dunia apabila motosikal yang dia tunggang merempuh sebuah kereta di Persiaran Remaja Zon Seroja, Sungai Lalang, di sini pada pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 9.50 pagi itu, lelaki berusia lingkungan 20-an yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 maut di lokasi akibat kecederaan parah pada anggota badan dan kepala.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Amanjaya, Penolong Penguasa Azhari Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kebakaran sebuah kereta yang terlibat kemalangan di laluan berkenaan pada pukul 9.52 pagi.
Katanya, sebaik tiba didapati kebakaran bahagian hadapan kereta itu telah padam dan terdapat dua mangsa di lokasi.
“Mangsa pertama pemandu kereta Proton Saga Iswara berusia lingkungan 20-an cedera ringan dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, di sini menggunakan ambulans.
“Sementara mangsa kedua penghantar makanan tersepit di dalam kereta berkenaan dan anggota mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas,” katanya di sini hari ini.
Kata Azhari, menurut saksi, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta berkenaan tiba-tiba membelok ke kanan sebelum dilanggar oleh penghantar makanan itu yang dipercayai ditunggang laju.
“Impak kemalangan itu menyebabkan kereta berkenaan terbabas di bahu jalan, manakala penghantar makanan itu tercampak dan memasuki kereta berkenaan sebelum tersepit di bahagian penumpang hadapan dan meninggal dunia,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE