MEKAH – Pelukan terakhir seorang bapa sebelum meninggal dunia selepas wukuf akan menjadi ingatan sampai bila-bila buat anaknya, Fazrihin Bawi.
Lebih menyedihkan, pelawaan arwah kepada anaknya untuk menemaninya ke Mekah rupa-rupanya menjadi permintaan terakhir sebelum menghadap Ilahi.
Menurut anak jati Kampung Pusa, Betong, Sarawak ini, arwah bapanya, Bawi Solek, 79, sebelum ini berkeras mahukan dia pergi menemaninya ke Tanah Suci.
“Walhal kakak saya sepatutnya pergi bersama-samanya. Saya tidak boleh pergi kerana bekerja (sebagai tentera).
“Seminggu sebelum bapa saya pergi ke Mekah, Lembaga Tabung Haji menelefon saya memaklumkan mereka memerlukan peneman lelaki untuk bapa dan akhirnya saya akur. Apa yang mengharukan segala urusan dipermudahkan terutama permohonan cuti diluluskan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Fazrihin, 27, berkata, keadaan kesihatan bapanya beberapa hari berada di Mekah adalah baik sehinggalah tibanya hari melontar ketiga-tiga jamrah.
“Ketika saya dan bapa melalui terowong pertama untuk pergi melontar jamrah, dia terasa penat. Saya menyuruhnya berhenti untuk minum air sebelum meneruskan berjalan kaki.
“Apabila melepasi terowong kedua, keadaan pada masa itu sudah panas membahang. Bapa mula berjalan terhoyong-hayang, menggigil sebelum diserang sesak nafas,” ujarnya.
Pada masa itu, Fazrihin terus mengendong bapanya untuk mencari bantuan sebelum seorang anggota polis dan kakitangan perubatan Indonesia cuba membantu.
Bagaimanapun, dia mendapati nadi bapanya telah terhenti.
“Bapa dibawa ke hospital Arab Saudi, namun keesokan harinya dia sudah tiada,” katanya.
Fazrihin reda dengan pemergiaan bapanya kerana arwah pernah berhajat untuk meninggal dunia di Tanah Suci. – KOSMO! ONLINE