HUMAN Resource Development Corporation (HRD Corp) menyasarkan penglibatan lebih 20,000 rakyat Malaysia pada Majlis Kemuncak dan Perayaan Pembelajaran National Training Week 2024 (NTW 2024).
Bertemakan ‘Menginspirasikan Kecemerlangan Malaysia melalui Pembelajaran Sepanjang Hayat’, majlis kemuncak tersebut akan diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 29 dan 30 Jun ini.
Selain majlis kemuncak berlangsung selama dua hari itu, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan iaitu Pancasains dari Petrosains yang mana pengunjung boleh melibatkan diri bersama keluarga dalam pengalaman sains dan teknologi yang menarik serta interaktif.
HRD Corp berkata, ‘EV Experience’ oleh Proton pula akan membolehkan pengunjung menjelajahi teknologi kenderaan elektrik dalam industri automotif Malaysia.
Turut disediakan aktiviti klinik sukan yang mana pengunjung boleh mendapatkan nasihat daripada pakar sukan untuk meningkatkan kecergasan dan kesihatan anda.
“Pertandingan Lego turut disediakan kepada pengunjung bagi mereka menunjukkan kreativiti dalam membina dan mencipta Lego yang ikonik.
“Aktiviti lain termasuk pameran buku dari Bookxcess memberi peluang pengunjung untuk meneroka dunia ilmu pengetahuan dan sastera melalui koleksi buku yang pelbagai serta pameran robotik.
“Lebih menarik, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) turut akan mengadakan Karnival Kerjaya MyFutureJobs yang akan menawarkan lebih 10,000 peluang pekerjaan,”kata HRD Corp.
Bagi penggemar muzik pula, aktiviti kelas muzik turut disediakan untuk pengunjung menyerlahkan bakat dan kreativiti serta sesi demonstrasi dengan Yamaha.
Mengulas lanjut, HRD Corp berkata, majlis penutup itu akan dimeriahkan dengan larian pembelajaran Learn-a-Thon yang bakal disertai lebih 4,000 rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang.
Uniknya larian itu terletak di pit stop yang membolehkan peserta belajar sambil berlari dengan pelbagai maklumat menarik.
“Selain itu, acara dua hari itu juga akan memaparkan lebih daripada 60 kelas latihan untuk hampir 2,000 peserta, yang memaparkan perkongsian dalam pelbagai bidang.
“Ia merangkumi lima teras utama iaitu Kemahiran Hidup, Kemahiran Masa Depan, Kreativiti dan Inovasi, Kemahiran Kewangan dan Pembangunan Mampan.
“Antara sesi kelas latihan menarik termasuk perkongsian dari doktor dan pempengaruh terkenal Dr Malar yang akan menceritakan tentang cara terbaik mengimbangi kehidupan dan pekerjaan, Aunty HR@ Professional BImbo yang akan berkongsi tentang cuti cuti dan hak pekerja dan juga Dr Onn Akbar yang akan membincangkan cara cara menjaga kesihatan dengan baik,”kongsinya.
Tambah HRD Corp, selebriti terkenal tanah air Fizo Omar juga akan berkongsi pengalaman beliau dalam bidang keusahawan manakala Faizdickie akan mengadakan latihan tentang bagaimana menjadi pembuat kandungan media sosial yang tulen.
Dr Soo Wincci turut serta untuk berkongsi pengalaman beliau yang bermula sebagai ratu cantik dan kini bergelar profesor yang cemerlang dalam bidang akademik.
Kesemua sesi ini adalah percuma dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia. Semua dijemput hadir di Parkir B, Stadium Bukit Jalil bermula jam 9 pagi hingga 7 malam.
Untuk menyertai kelas latihan rakyat Malaysia boleh melayari http://www.nationaltrainingweek.gov.my untuk mendaftar.
Sebagai makluman, NTW 2024 ialah minggu latihan percuma untuk rakyat Malaysia yang berjalan serentak di seluruh negara dari 24 hingga 30 Jun.
Inisiatif KESUMA dan HRD Corp ini menawarkan lebih 60,000 kursus latihan percuma dan menyasarkan 200,000 penyertaan.
Selain kursus latihan, HRD Corp bersama rakan kolaborasi juga akan mengadakan lebih 700 aktiviti pembelajaran di seluruh negara.
Habis..