KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan tiada tindakan diambil pihaknya ke atas warga Afrika disyaki menawarkan aktiviti persundalan di Jalan Changkat, Bukit Bintang, di sini.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, operasi Ops Kutip telah dilakukan JIM Kuala Lumpur pada 24 November tahun lalu di lokasi terbabit.
Katanya, JIM KL telah menahan seramai 12 individu termasuk seorang lelaki membabitkan satu warga Yaman, Tanzania (9), Uganda (1) dan Nigeria (1).
“Operasi turut memeriksa 26 individu pelbagai warganegara,” ujarnya.
Beliau menegaskan pihaknya memandang serius isu berkait kesalahan babit warga asing sekali gus menggesa orang ramai untuk terus salurkan maklumat kepada pihak imigresen.
“Operasi seperti ini sedang dilaksanakan secara menyeluruh di ibu negara membabitkan pelbagai tempat dan kawasan seperti premis mahu pun penempatan.
“Tindakan juga sedang diambil terhadap majikan selain siasatan mengikut Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) dengan membekukan akaun serta aset pemilik premis,” katanya.
Semalam, menerusi video berdurasi satu minit 15 saat yang mendakwa beberapa wanita warga Afrika terlibat aktiviti persundalan di Jalan Changkat, di sini, tular di aplikasi X. -KOSMO! ONLINE.