KETUA jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad berharap penyerang utama, Kpah Sherman dapat menemui sentuhan jaringan menjelang perlawanan getir bertemu Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri hari ini.
Penyerang kelahiran Liberia itu masih gagal menjaringkan sebarang gol walaupun sudah diturunkan pada tiga perlawanan.
Pada aksi Liga Super dan Piala FA awal musim ini, gol-gol Sri Pahang berjaya diperoleh menerusi pemain tengah seperti Manuel Hidalgo dan Stefano Bruno.
Mungkin tidak mahu membebankan Sherman, Fandi dikatakan sudah berkira-kira membawa turun seorang lagi penyerang import dari Ukraine, Mykola Ahapov untuk memecah kebuntuan menjaringkan gol.
“Sherman masih menjadi taruhan utama di posisi serangan, cuma buat kali pertama saya akan turunkan Mykola untuk membantu dia menemui kembali sentuhan gol,” kata Fandi kepada Kosmo!.
Selain posisi serangan, Fandi mengakui untuk berhadapan dengan sebuah pasukan seperti JDT, semua bahagian mesti diperkemaskan kerana pasukan lawan mempunyai kekuatan di seluruh padang.
“Apa yang boleh dilakukan sekarang adalah tidak terlalu memikirkan kekuatan mereka dan di pihak Sri Pahang, kami cuma memikirkan bagaimana untuk melakukan kejutan.
“Sudah pasti setelah tewas di tangan Penang FC, kita agak down (kecewa) sedikit tetapi ketika ini mereka sangat happy (gembira) semasa latihan. Saya lihat mereka berusaha 100 peratus di padang latihan,” katanya.