IPOH – Kegiatan tiga lelaki yang aktif melakukan jenayah samun dengan menyamar sebagai pegawai polis di daerah ini tumpas apabila ditangkap polis semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, tangkapan terhadap suspek berusia antara 27 hingga 37 tahun itu dibuat pada pukul 6.10 pagi di kawasan Sungai Senam.
Katanya, pemeriksaan ke atas suspek dan kereta Perodua Alza dinaiki mereka menemukan beberapa senjata berbahaya dan peralatan polis yang dimiliki secara tidak sah.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine. Semakan rekod kesalahan lampau juga mendapati ketiga-tiga mereka memiliki rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, dengan tertangkapnya kumpulan terbabit, pihaknya percaya berjaya menyelesaikan beberapa kes samun dan menyamar pegawai polis di sekitar Ipoh.-KOSMO! ONLINE