PETALING JAYA – Golongan muslim digalakkan untuk menyelesaikan semua hutang terlebih dahulu sebelum membuat ibadah lain seperti ambil bahagian korban pada Hari Raya Aidiladha serta menunaikan umrah di Mekah.
Penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus berkata, perkara wajib seperti membayar hutang adalah hal yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum ibadah sunat lain dibuat.
“Ibarat kita pakai ketayap di atas kepala, kenakan pemakaian kain serban, bersugi mengenakan minyak wangi tetapi kita berjalan dekat orang ramai tanpa pakai seluar.
“Yang sunat semua kita buat tetapi yang wajib kita tinggalkan, itulah ibarat dia kalau kita buat kerja umrah dan ibadah korban tapi tak bayar hutang orang,” jelasnya dalam satu sesi soal jawab di saluran Youtube baru-baru ini.
Tambah Azhar, ada dalam kalangan orang ramai yang secara tidak langsung telah mengecilkan hati orang lain dengan membuat ibadah sunat seperti mengerjakan korban dan umrah tanpa menyelesaikan terlebih dahulu hutang daripada orang lain.
“Ramai macam tu, kontraktor biasanya dapat bayaran dari kerajaan,hutang dekat kedai hardware bertimbun tidak bayar, tapi Mekah pergi bawa keluarga lagi.
“Sama juga ibadah korban, ambil bahagian juga tapi hutang orang tidak bayar. Buat yang wajib dahulu, yang sunat kemudian,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE