fbpx

Euro 2024: Turkiye yakin kejutkan Portugal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TURKIYE berada pada tahap terbaik ketika ini susulan kemenangan ke atas Georgia dalam aksi pertama sebelum ini. - AFP

DORTMUND – Ketua jurulatih Turkiye, Vincenzo Montella meletakkan harapan tinggi agar pasukannya mampu untuk melakar kejutan sensasi dengan menewaskan Portugal pada aksi kedua Kumpulan F saingan Euro 2024 tengah malam ini.

Sebagai rekod, kedua-dua pasukan berpeluang untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik lebih awal jika berjaya meraih tiga mata penuh pada perlawanan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Signal Iduna Park itu.

Kata Montella, kemenangan luar biasa yang diraih ke atas Georgia pada aksi pembukaan awal minggu ini sememangnya menaikkan semangat pemain untuk tampil lebih bertenaga ketika menentang Selecao yang dianggap sebagai pilihan utama kejohanan kali ini.

“Saya rasa situasi kali ini agak berbeza kerana motivasi pasukan agak tinggi selepas melakar kemenangan pada aksi pertama sebelum ini. Keputusan itu menyaksikan pasukan seperti sudah meletakkan sebelah kaki ke peringkat kalah mati.

“Apa yang dipamerkan oleh pasukan cukup membanggakan terutama apabila kita gagal mengutip sebarang mata pada penyertaan Euro edisi yang lepas. Kini, saya yakin kita mampu meneruskan impian dengan mencipta kejutan ke atas Portugal nanti,” katanya.

Sementara itu, pemain sensasi The Crescent Stars, Arda Guler mengakui tiada apa yang mustahil dalam bola sepak meskipun pasukannya tidak pernah merekodkan sebarang kemenangan kompetitif ke atas Portugal di peringkat antarabangsa sebelum ini.

“Semua pemain sedar kita tidak memiliki rekod yang baik setiap kali bertemu Portugal kerana belum pernah menewaskan mereka. Namun, kami yakin setiap rekod perlu dipecahkan dan harap perlawanan nanti akan menjadi detik bersejarah buat pasukan,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI