SCHALKE – Ketua jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente optimis anak-anak buahnya layak dilabel antara terbaik dunia selepas memastikan pasukannya lolos ke pusingan 16 terbaik dengan menewaskan Itali 1-0 dalam aksi Kumpulan B awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, skuad La Roja tidak mempunyai masalah untuk meraih tiga mata berharga menentang seteru tradisi hasil jaringan sendiri pemain pertahanan The Azzurri, Riccardo Calafiori.
Kata De La Fuente, apa yang dipamerkan oleh barisan pemain adalah yang terbaik sejak dirinya menjadi pengendali pasukan itu pada tahun lalu dengan prestasi cukup sempurna sepanjang 90 minit perlawanan.
“Tidak keterlaluan saya katakan bahawa ini adalah perlawanan terbaik Sepanyol sejak saya membimbing pasukan ini. Kami pernah menentang Itali pada aksi Liga Negara-Negara Eropah tetapi perlawanan kali ini lebih sempurna.
“Secara jujur, saya rasa ini adalah detik terbaik untuk membuktikan bola sepak Sepanyol sudah bangkit kerana kami memiliki ramai pemain yang boleh dianggap sebegai berkelas dunia dan generasi pemain muda yang meningkat naik,” katanya.
Sementara itu, De La Fuente turut berharap agar pasukan tidak terlalu mendabik dada kerana saingan baru sahaja bermula dan apa pun boleh berlaku ketika peringkat kalah mati nanti.
“Ini adalah kejohanan yang sukar dan saya pasti semua pasukan memiliki kualiti untuk bergelar juara. Saya harap pasukan kami dapat kekal berpijak di bumi yang nyata meskipun peluang untuk kami melangkah lebih jauh sudah di depan mata,” katanya. – AGENSI