FRANKFURT – Keputusan seri 1-1 yang dicatatkan ketika menentang Denmark di Deutsche Bank Park awal pagi semalam membuktikan England sedang bergelut untuk mendapatkan kombinasi lebih baik di posisi tengah.
Pengurus The Three Lions, Gareth Southgate mengakui situasi itu dan beliau tiada calon terbaik untuk mengisi tempat yang ditinggalkan oleh pemain tengah Manchester City, Kalvin Phillips.
Dalam dua perlawanan lepas, tonggak pertahanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold digandingkan dengan Declan Rice di bahagian tengah, namun ia seakan tidak mampu menghadirkan impak lebih baik.
“Ada beberapa detik dia (Alexander-Arnold) berjaya melakukan tugasnya dengan baik seperti yang kami harapkan. Ini adalah eksperimen kerana kami tidak memiliki calon semula jadi untuk mengisi ketiadaan Kalvin Phillips.
“Ada ketikanya gerakan yang kami lakukan tidaklah lancar mengikut apa yang kami mahukan,” katanya.
Pada perlawanan itu, Harry Kane membuktikan kualitinya apabila meledak gol pertama England, namun Morten Hjulmand menyelamatkan nasib Denmark selepas berjaya menghasilkan jaringan penyamaan.
Southgate juga sedar ramai penyokong The Three Lions kecewa dengan keputusan itu, namun meminta semua orang kekal di belakang pasukan untuk memberikan sokongan kepada pemain.
“Kami tidak memanfaatkan peluang dengan baik dan kami juga pastinya akan menderita juga semua ini terus berulang.
“Kami perlu tampil lebih baik lagi dan kena mencari jalan untuk mencapai tahap yang dimahukan,” jelasnya. – AGENSI