BANGKOK – Tiga trak pikap rosak selepas melanggar seekor rusa yang melintas pada waktu malam dalam kejadian di Jalan Chaiyaphruek, wilayah Nonthaburi, lapor portal berita The Pattaya News semalam.
Kejadian berlaku sekitar pukul 10 malam (waktu tempatan), Rabu lalu.
Menurut polis, seekor rusa betina ditemui di lorong kiri Jalan Chaiyaphruek.
Tiga pikap tersadai akibat rosak selepas merempuh rusa itu.
Kamera sebuah pikap merakam detik kemalangan ketika rusa itu berlari di hadapan kenderaan tersebut.
Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) sebuah kedai serbaneka yang terletak berhampiran lokasi kejadian pula menunjukkan bahawa selepas perlanggaran awal, rusa itu terbaring kira-kira 10 minit sebelum dirempuh oleh dua pikap lain.
Haiwan itu mati di tempat kejadian.
Seorang penduduk tempatan memberitahu polis bahawa rusa itu mungkin milik seorang penduduk setempat yang tinggal kira-kira 1 kilometer dari tempat kejadian. – AGENSI