PETALING JAYA – Tular di media sosial video memaparkan seorang lelaki bersama bayinya serta seorang individu lain nyaris digilis oleh sebuah kereta ketika ingin memasuki sebuah kedai serbaneka.
Kejadian tersebut dikatakan berlaku di Jerteh, Terengganu pada 17 Jun lalu selepas rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) kedai terbabit dimuat naik menerusi akaun X @UpdateInfo semalam.
Semakan Kosmo! pada video tular itu, pada awalnya kelihatan sebuah kereta jenis Perodua Axia yang berada di simpang tiga hendak memasuki laluan utama.
Kemudian, tanpa melihat keadaan semasa jalan, pemandu Axia terbabit secara melulu keluar dari simpang dan bertembung dengan sebuah kereta lain yang sedang bergerak lurus.
Kemalangan tersebut menyebabkan kereta dipandu lelaki warga emas itu hilang kawalan sebelum melanggar sebuah kedai dan beberapa kenderaan lain di kawasan sekitar.
Bagaimanapun, keadaan bagi kesemua mangsa yang terlibat dilaporkan selamat.
“Kejadian di Jerteh. Alhamdulillah bayi dan ayahnya dilaporkan selamat,” ciap pengguna X itu.
Menjengah ke ruangan komen, pelbagai reaksi diberikan orang ramai dan perkongsian tersebut telah meraih lebih 256,000 tontonan. – KOSMO! ONLINE