fbpx

Tukar nombor plat palsu takut motosikal kena tarik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan JPJ memeriksa motosikal yang disyaki menggunakan nombor plat palsu. - Foto oleh SADDAM YUSOFF / KOSMO!

PETALING JAYA – Gara-gara pinjaman tertunggak selama tiga bulan, seorang pemuda mengambil jalan pintas dengan memasang nombor plat palsu pada motosikal jenis Yamaha 135 LC miliknya.

Itu alasan diberikan seorang lelaki berusia 21 tahun setelah sepasukan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mengesan helahnya memalsukan nombor pendaftaran motosikalnya menerusi Ops Khas Sempena Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2024 di Plaza Tol Sunway, di sini, sekitar pukul 9 malam tadi.

Menurut lelaki terbabit, dia baru sahaja menggunakan taktik berkenaan kira-kira seminggu semata-mata ingin mengelak motosikalnya ditarik oleh pihak berkaitan.

Bukan itu sahaja, dia yang bekerja di sebuah kedai serbaneka didapati tidak mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM).

Dalam perkembangan lain, terdapat pasangan suami isteri tempatan berusia 20-an terpaksa memadam angan mereka ‘makan angin’ di Kepong setelah motosikal ditunggangi disita oleh JPJ kerana si suami tidak mempunyai lesen motosikal.

Timbalan Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, sebanyak 1,220 kenderaan diperiksa terdiri daripada 492 motosikal, kereta (675), lori (81) dan bas (11).

“Sebanyak 99 kenderaan daripada jumlah itu telah dikenakan tindakan, manakala surat saman dikeluarkan adalah sebanyak 261 keping dalam operasi yang bermula pukul 8 hingga 12 tengah malam tadi.

JPJ Selangor melakukan pemeriksaan pada Ops Khas Sempena Hari Raya Aidiladha 2024 di Plaza Tol Sunway, Petaling Jaya malam tadi.

“Terdapat 318 kesalahan kita kesan dalam operasi ini yang membabitkan 82 kesalahan teknikal; Lesen Memandu Kompeten (CDL), 94; LKM tamat tempoh (42); tiada insurans (36); nombor pendaftaran (24); lain-lain kesalahan (19); cermin gelap (16); Lesen Vokasional GDL (3) dan kesalahan utama (2),” ujarnya.

Katanya, Ops Khas sempena Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2024 bermula 10 hingga 30 Jun ini adalah bagi memastikan pengurusan aktiviti penguatkuasaan dilaksanakan lebih efektif dan berimpak tinggi bagi meminimumkan kadar kemalangan dan kematian jalan raya.

Seterusnya, ia juga bertujuan memantau kelancaran dan kecekapan operasi perkhidmatan pengangkutan awam bagi peningkatan keselamatan, kualiti dan keboleh harapan perkhidmatan kepada pengguna. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI