PETALING JAYA – Penurunan harga runcit telur ayam gred A, B dan C sebanyak 3 sen sebiji yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini menjadikan makanan itu sebagai pilihan utama orang ramai.
Menerusi perkongsian Public Health Malaysia di Facebook, telur ayam merupakan antara barangan dapur dan pilihan makanan yang murah, namun memiliki pelbagai khasiat.
Katanya, telur adalah sumber protein berkualiti tinggi dan baik untuk pembinaan otot serta pembaikan tisu.
“Telur juga memberi impak kepada kesihatan mata kerana ia kaya dengan lutein dan zeaxanthin.
“Selain itu, sesuai untuk tingkatkan fungsi otak kerana kandungan kolin dalam telur penting untuk otak,” jelas PHM.
Dalam perkongsian sama, PHM memaklumkan telur adalah pilihan makanan terbaik bagi mereka yang dalam proses menurunkan berat badan.
“Bantu beri tenaga berpanjangan dan membantu kenyang lebih lama.
“Telur mengandungi vitamin A, B12, dan selenium dalam menyokong imuniti badan seseorang serta baik untuk kesihatan tulang disebabkan kandungan vitamin D yang membantu penyerapan kalsium.
“Makan satu hingga dua biji telur sehari sebagai sebahagian daripada diet seimbang. Kombinasikan dengan sayur-sayuran, buah-buahan, dan bijirin penuh,” kongsi PHM. – KOSMO! ONLINE