HAYAT Liga Malaysia (Liga M) kini tidak ubah seperti ‘nyawa-nyawa ikan’ dan ia seakan diperjudikan sekiranya masih ada pasukan yang dihimpit pelbagai isu khususnya membabitkan masalah tunggakan gaji.
Daripada trend masa kini, sudah berlaku pengurangan pasukan yang mengambil bahagian dalam saingan Liga Super dan jika tiada gerak kerja untuk membasmi permasalahan dilakukan dengan kadar segera, tidak mustahil Liga M akan terkubur
Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, kerisauan itu pastinya wujud kerana Liga M seakan sudah hilang kompetitif hingga mengikis minat penyokong untuk berikan sokongan kepada pasukan pilihan masing-masing.
“Fenomena ini tidak ada penyelesaian dan ia satu benda yang menakutkan, ada kemungkinan hanya tinggal 10 pasukan saja musim depan. Apa sudah jadi dengan bola sepak kita? Adakah kita suka melihat Liga Super hanya ada dua atau tiga pasukan yang dominan?
“Saya boleh cakap Liga Super akan ‘tumbang’ dalam beberapa tahun lagi jika inilah senarionya dan kalau kita tidak cepat buat reformasi. Jangan malu kalau kita terpaksa mengundur ke belakang jika itu kebaikan bola sepak kita,” katanya pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen IPT ke Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 di Putrajaya semalam.
Walaupun saingan Liga M 2024/25 baharu saja bermula, namun sudah ada khabar angin yang mengatakan pasukan berdepan masalah gaji seperti yang hangat diperkatakan dalam kalangan peminat.
Dalam masa sama, Pekan juga menjelaskan penaja ada hak untuk tidak turut serta dalam industri bola sepak sekiranya pertandingan domestik lebih banyak dihimpit isu negatif berbanding cerita kompetitif.
“Bagaimana kita nak katakan liga kita benar-benar kompetitif kalau belum lagi turun bermain, kita sudah tahu pasukan mana yang akan menang. Kalau ia kompetitif, kita tidak dapat jangkakan pasukan mana yang akan menang.
“Kita kena tengok kenapa orang kurang datang ke stadium? Mungkin sebab hanya ada satu atau dua pasukan yang dominan. Apabila banyak perkara negatif, awak ingat penaja akan datang? Apabila tidak ada penaja, macam mana pasukan mahu teruskan kelangsungan,” katanya.