fbpx

Songlap RM24.2 juta: Staf bank terima komisen hingga RM240,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramli menunjukkan barang rampasan daripada suspek yang ditahan kerana melakukan pindahan wang RM24.2 juta.

KUALA LUMPUR – Empat kakitangan bank yang disyaki bersubahat dengan sindiket membabitkan kehilangan wang dari akaun simpanan tetap RM24.2 juta, dianggarkan menerima komisen bermula RM100,000 hingga RM240,000 mengikut peranan masing-masing.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dalang utama sindiket ini juga dipercayai mempunyai kepakaran dalam sistem biometrik seperti kad pengenalan dan cap jari.

“Dalang mempunyai kepakaran biometrik memalsukan kad pengenalan serta cap jari manakala kakitangan bank terlibat memegang jawatan pengurus bank serta pegawai yang menguruskan simpanan tetap sendiri.

“Bukan itu sahaja, kita juga mendapati dalang menggunakan peranti yang sama dengan bank terlibat. Bukan sistem bank tidak bagus, namun integriti serta kompromi kakitangan yang menjadikan demikian dan kita percaya mereka melakukan perancangan ini sejak tahun lalu.

“Salah seorang kakitangan bank lelaki baru sahaja bertukar kerja di bank terbabit dan siasatan mendapati suspek itu pernah melakukan satu transaksi penipuan yang sama dengan kerjasama sindiket di bank sebelumnya,” ujarnya ketika sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Ujarnya, tiga daripada pemilik akaun yang kehilangan wang adalah dari Selangor dan satu dari Perak dengan menggunakan modus operandi yang sama.

“Nilai keseluruhan wang yang telah dikeluarkan oleh sindiket ini adalah RM24.2 juta iaitu dari kes pertama (RM3.5 juta), kes kedua (RM5.7 juta), kes ketiga (RM6 juta) dan kes keempat (RM9 juta).

“Daripada empat laporan polis yang diterima, dua laporan dibuat oleh pemilik akaun dan dua yang lain dibuat oleh pegawai bank yang berkaitan. Bermula 13 hingga semalam, seramai 14 individu termasuk empat kakitangan bank berusia 22 hingga 53 tahun telah ditahan kerana disyaki terlibat dengan jenayah terancang ini.

“Seramai 13 daripada mereka ditangkap di sekitar Kota Kinabalu, Sabah dan seorang ditangkap di Padang Besar, Perlis. Seorang daripada mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis pada Isnin lalu manakala bakinya sedang direman sehingga 22 dan 24 Jun ini.

“Susulan penahan itu, kita merampas sebanyak sembilan buah kenderaan pelbagai jenis dan jenama, wang tunai berjumlah RM1.93 juta, telefon bimbit pelbagai jenama, kad ATM, kad debit, kad kredit, barangan berharga serta pelbagai barangan dan dokumen lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti jenayah yang dilakukan,” katanya.

Menurut Ramli, hasil siasatan terkini mendapati kes ini merupakan satu jenayah terancang yang melibatkan ahli sindiket dari dalam dan luar bank yang bersubahat bagi urusan pengeluaran wang simpanan tetap dari empat akaun yang telah dikenal pasti.

“Pengeluaran wang pertama secara tunai di kaunter bank telah berjaya dilakukan sekitar bulan April lalu dan disusuli beberapa pengeluaran seterusnya pada bulan Mei serta Jun.

“Melalui pakatan dalaman, pengeluaran wang tersebut berjaya dilakukan dengan mematuhi prosedur pengeluaran wang yang ditetapkan pihak bank menjadikan ia tidak dapat dikesan.

“Kegiatan tersebut hanya terbongkar apabila salah seorang daripada empat pemilik akaun yang terjejas hadir ke bank untuk membuat pengemaskinian akaun simpanan tetapnya,” jelasnya.

Tegasnya, siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan sedang dijalankan.

“Siasatan juga mendapati dalang utama kes ini turut terlibat membuat perancangan dan membuat pengeluaran sebanyak lebih RM551,000 dari sebuah bank yang lain sebelum ini iaitu pada awal tahun,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI