fbpx

Siasatan kemalangan lubang mendap diserah kepada pihak berkuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN sebuah lori yang jatuh ke dalam lubang jalan yang mendap di Kilometer 73 Jalan Kuantan-Segamat di Pekan kelmarin.

PETALING JAYA – Jabatan Kerja Raya (JKR) menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan yang meragut nyawa seorang pemandu lori selepas kenderaan dipandunya terjunam ke dalam lubang jalan mendap di Seksyen 102, Kilometer 73, Jalan Kuantan-Segamat, kelmarin.

Ini kerana kata JKR Pelan Pengurusan Trafik (TMP) telah dilaksanakan dari kedua-dua arah bagi meningkatkan tahap keselamatan serta sebagai makluman/amaran awal kepada pengguna di lokasi kejadian.

Malah katanya, TMP yang telah dipasang adalah mengikut prosedur dan spesifikasi ditetapkan seperti penyediaan papan tanda sementara (lencongan, had laju dan had muatan).

Selain itu, TMP itu juga telah menyediakan garisan jalan sementara serta mempunyai penghadang jalan.

“JKR juga telah menyediakan beberapa inisiatif tambahan seperti mengadakan speed bump bagi mengurangkan had laju kenderaan dan memasang lampu solar di sekitar laluan lencongan bagi meningkatkan pencahayaan dan tahap keselamatan terutamanya pada waktu malam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu JKR memaklumkan bahawa Laluan Persekutuan (FT12) di Seksyen 102 telah ditutup kepada semua kenderaan berikutan mendapan struktur bebo arch culvert ekoran kejadian banjir.

Lanjutan penutupan laluan tersebut, satu laluan lencongan dan jambatan sementara (bailey bridge) telah dibina bagi memastikan rangkaian perhubungan jalanraya tidak terputus.

Mengulas lanjut, JKR berkata, pihaknya sedang melaksanakan proses perolehan bagi kerja-kerja penggantian jambatan kekal di lokasi tersebut.

“Justeru, jabatan ini memohon semua pengguna jalan raya di laluan tersebut agar lebih berhati-hati serta mematuhi papan tanda dan had laju yang telah ditetapkan demi keselamatan bersama,”katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang pemandu lori menjadi mangsa pertama yang maut akibat mendapan jalan yang berlaku di Kilometer 73 Jalan Kuantan-Segamat.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kejadian kira-kira pukul 8.55 malam itu berlaku ketika mangsa, Muhammad Farhan Dagang,29, dalam perjalanan dari Segamat ke Pekan membawa janakuasa elektrik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI