PELAKON Hisyam Hamid tidak menyangka lakonannya sebagai lelaki autisme mendapat perhatian apabila drama Bunga Salju meraih ‘rating’ tertinggi untuk slot Tiara di Astro Ria.
Menurut Hisyam Hamid atau nama sebenarnya, Hazmi Hisyam Abdull Hamid, 39, ketika ditawarkan watak lelaki autisme bernama Ali, dia sangat gementar tetapi masa sama teruja menyahut cabaran untuk menjadi pelakon versatil.
“Jujur, saya sangat gementar kerana kesedaran tentang autisme sudah meluas di Malaysia. Saya bimbang akan dikecam jika tidak melakonkan karakter lelaki autisme dengan betul.
“Jadi, saya buat kajian dengan menonton filem luar negara dan meluangkan masa selama dua hari di Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) selain berjumpa dengan lelaki yang wataknya sama dengan Azizi.
“Lelaki itu bernama Syafiq berusia 29 tahun, bekerja dalam bidang IT dan seorang ‘high functioning autisme’ sama seperti Azizi. Dia seorang yang sangat bergantung kepada nasihat ibunya.
“Saya perhatikan cara dia bercakap, berjalan dan gerak tangannya, hasilnya adalah apa yang penonton lihat dalam drama Bunga Salju,” ujar Hisyam.
Jelas Hisyam lagi, dia bersyukur watak Azizi diterima ramai, malah rata-rata penonton mengakui lakonannya sama seperti orang autisme.
“Saya ada baca komen penonton dalam laman sosial, rata-rata mereka tidak tahu ada orang autisme seperti Azizi.
“Malah, ada yang komen mahukan lelaki seperti Azizi kerana jujur (ketawa). Apapun saya gembira naskhah ini selain hiburan turut memberi kesedaran kepada penonton bahawa ada orang autisme yang ‘high functioning’ dan ada kalanya mereka lebih bijak daripada orang normal,” ujar Hisyam.
Dalam pada itu, aktor Hariz Hamdan yang membawa watak Farouk menjelaskan, ini kali pertama dia membawa watak antagonis yang melampau.
Disebabkan itu, Hariz berlapang dada apabila dibenci penonton dan teruk dihentam dalam media sosial.
“Sepanjang drama ini bersiaran saya sudah bersedia untuk dibenci dan dikecam penonton kerana Farouk memang sangat jahat. Tidak pernah saya bawa watak jahat yang melampau.
“Selain membuat kajian sendiri, saya turut dibantu barisan pelakon senior yang hebat di set penggambaran seperti Hasnul Rahmat dan Zul Huzaimy,” kongsi Hariz.
Selain Hisyam dan Hariz, drama Bunga Salju turut dibintangi Amyra Rosli, Zarina Zainoordin, Hasnul Rahmat, Syad Talib, Zul Huzaimy dan Arabella Ellen.
Beri kesedaran
Menurut penerbit, David Teo daripada Metrowealth International Group (MIG) pihaknya gembira dengan sambutan yang diberikan penonton.
“Mulanya pihak kami agak bimbang peminat drama mungkin tidak mahu tonton drama tentang autisme, tetapi kami silap kerana Bunga Salju mendapat sambutan yang luar biasa.
“Saya sendiri difahamkan Bunga Salju mendapat rating tertinggi untuk slot Tiara di Astro Ria setakat ini dan apa yang membanggakan drama ini masih belum tamat dan berbaki banyak episod lagi,” ujar David Teo.
Pengarahnya, Ejump Mohd. pula mengakui terselit rasa bimbang ketika menerima naskhah Bunga Salju apatah lagi isu autisme sudah diketahui secara meluas oleh masyarakat umum.
“Ketika mendapat karya Bunga Salju saya tidak lena tidur, bimbang kerana ini bukan drama yang klise sebaliknya saya perlu buat banyak kajian terutama untuk watak Azizi.
“Kami ada sesi selama dua hari di Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) bersama barisan pelakon untuk melihat sendiri karakter orang autisme secara lebih dekat.
“Alhamdulillah, saya tidak jangka drama ini mendapat sambutan hebat. Rasanya kami membuat pilihan yang tepat dalam pemilihan pelakon.
Sebagai pengarah saya bersyukur kami dapat menyampaikan kesedaran tentang autisme kepada semua peringkat usia,” kata Ejump.
Drama Bunga Salju yang telah bersiaran sebanyak 21 episod daripada 40 episod, mengisahkan Qaisara terpaksa berkahwin dengan Azizi, seorang lelaki austistik bagi memenuhi keperluan ibunya dan teman lelaki Farouk demi mendapatkan harta Azizi.
Menemui penonton sejak 20 Mei lalu, Bunga Salju bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 6 petang secara eksklusif melalui saluran Astro Ria (104).
Drama ini juga boleh ditonton menerusi ON Demand di Astro Box dan aplikasi Astro Go serta Sooka untuk pilihan yang lebih fleksibel.