PETALING JAYA – Ramai kalangan masyarakat kita mudah mengalami masalah kegemukan kerana mudah terpengaruh dengan menu makanan viral.
Ini kerana menerusi perkongsian di laman Facebook Public Health Malaysia (PHM), makanan viral yang ditawarkan oleh peniaga ketika ini mempunyai ‘portion’ yang banyak sehingga ‘XXL’.
Selain itu kata PHM, makanan viral juga mempunyai limpahan kalori seperti kentang goreng dan sos serta ditambah ‘cheese’ leleh.
“Minuman manis pula bersaiz jumbo dan turut mengandungi pemanis lain. Malah harganya juga jauh lebih mahal,” tulis PHM pada hantaran tersebut.
Pada hantaran sama, PHM turut membuat perbandingan dengan ‘portion’ dan saiz makanan dahulu.
Sebagai contoh PHM membuat perbandingan nasi goreng sebelum ini yang hanya mengandungi telur mata berbanding nasi goreng pada zaman viral yang diisi dengan pelbagai menu lain termasuk kentang goreng, sosej, serta ‘lamb chop’.
Begitu juga dengan menu ABC (air batu campur) yang kini dihiasi dengan pelbagai biskut, coklat, krim manisan berbanding ABC dahulu yang hanya mengandungi cendol, kacang, jagung serta pewarna. – KOSMO! ONLINE