PETALING JAYA – Aktres Puteri Sarah Liyana hampir terjebak aktiviti tidak bermoral apabila menjadi sasaran seorang wanita yang menyamar sebagai pelakon Nadia Brian menawarkannya menjadi ‘peneman’ golongan VIP dengan bayaran lumayan RM15,000.
Menurut Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 39, kejadian yang berlaku minggu lalu bermula dengan perbualan mesej yang mengajaknya menemani seorang lelaki berstatus Datuk dari Johor Bahru.
“Ada satu hari itu saya dapat mesej daripada seorang individu yang mengaku dirinya Nadia dan mula bertanya sama ada saya sibuk atau tidak. Pada mulanya saya okey sahaja sebelum dia mula bertanya tentang jadual kerja saya.
“Kemudian mula rasa pelik sebab dia minta saya bertemu dengan seorang lelaki berstatus Datuk dari Johor Baharu. Saya pula ‘blur’ orangnya sebab sangka hendak bertemu dengan produser.
“Semakin pelik apabila individu itu pesan ‘no video no photo’ dan cakap saya hanya perlu menemani datuk tersebut minum kopi serta akan dibayar dengan jumlah RM15,000,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang media drama Polis Peronda di sini, semalam.
Berkeras dengan pendiriannya, Sarah menegaskan tidak akan sesekali melakukan perkara rsebut sebelum mendapatkan pengesahan daripada Nadia sendiri.
Lebih mengejutkan, individu tersebut turut berani meminta nombor telefon milik artis lain daripadanya.
“Saya cakap pada individu itu, saya tak buat kerja-kerja begitu. Tak akan pernah nak teman minum dan sebagainya.
“Kemudian, Nadia itu pun cakap tak mengapa sebelum dia minta pula nombor telefon artis lain.
“Selepas rasa semua ini tidak kena, saya terus hubungi Nadia Brian yang sebenar. Nadia beritahu dia sedang bersiap untuk penggambaran tetapi penyamar itu maklumkan sudah berada di set penggambaran,” ujarnya.
Tidak menunggu lama, Sarah terus membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.
“Kebetulan saya sedang jalani penggambaran di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, saya maklumkan pada pegawai polis dan terus buat laporan polis.
“Polis beritahu mungkin individu itu telah ‘hack’ nombor telefon Nadia dan curi maklumat dari situ,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE