fbpx

PRK Sungai Bakap: UMNO gerak jentera parti bantu calon Kerajaan Perpaduan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Ahmad Maslan antara yang hadir pada Mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato' Onn malam ini. - Foto oleh IQBAL ROSLI / KOSMO!

KUALA LUMPUR – UMNO akan menggerakkan sepenuhnya seluruh jentera parti untuk membantu kemenangan calon parti Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.20 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara tersebut antara yang dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung di Menara Dato’ Onn di sini, sebentar tadi.

“UMNO telah menamakan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir selaku Pengarah Pilihan Raya BN DUN Sungai Bakap, manakala Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir selaku Pengarah Operasi dan Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan selaku Ketua War Room PRK Sungai Bakap,” katanya pada kenyataan akhbar hari ini.

Media melaporkan, Kerajaan Perpaduan mempertaruhkan bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr. Joohari Ariffin, 60, daripada PKR manakala Perikatan Nasional (PN) menamakan Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail, 56, sebagai calon mewakili mereka.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan berikutan kematian Nor Zamri Latiff atau lebih dikenali sebagai YB Abang Zam pada 24 Mei lepas akibat penyakit keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 2 Julai.

Dalam masa sama, Asyraf Wajdi berkata, mesyuarat pada malam ini juga bersetuju Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan pada 21 hingga 24 Ogos depan.

Berhubung perbincangan lain, beliau berkata, UMNO di semua peringkat mesti mengambil tanggungjawab untuk membantu kerajaan ‘membumikan’ dan melaksanakan Dasar Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Negara.

Menurutnya, ini bagi memastikan lebih 250,000 tempat pengajian TVET yang disediakan oleh 1,345 institusi TVET seluruh negara, dimanfaatkan dan dapat diisi sepenuhnya oleh anak muda.

“Mesyuarat merasakan agenda TVET yang dipelopori oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Majlis TVET Negara merupakan satu inisiatif berimpak besar mampu membantu anak muda yang mempunyai potensi besar dalam pelbagai aspek kemahiran dan vokasional dapat dibela dan diberikan peluang masa depan lebih cerah dengan peluang pekerjaan bergaji premium.

“UMNO mengucapkan penghargaan kepada kerajaan yang menyahut cadangan UMNO untuk menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi GIG,” katanya.

Ujarnya, UMNO akan terus memainkan peranan melalui kepimpinan yang berada dalam anggota pentadbiran untuk memastikan 1.16 juta pekerja Gig dibela dan dilatih melalui pelbagai program TVET ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ melalui Majlis TVET Negara yang juga dipelopori dan dipengerusikan oleh Presiden UMNO.

Terdahulu, mesyuarat yang berlangsung di sini bermula kira-kira pukul 8.30 malam serta berakhir hampir tiga jam kemudian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI