fbpx

PRK Sungai Bakap: Polis tubuh pasukan khas pantau isu 3R

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hamzah (gambar) ketika sidang akhbar di IPD SPS di Jawi, hari ini. - Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN / KOSMO!

SEBERANG PERAI – Polis Pulau Pinang menubuhkan satu pasukan khas bagi memantau isu berkaitan agama, bangsa dan institusi Diraja (3R) yang dibangkitkan menerusi ceramah dan perhimpunan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Ahmad berkata, pihaknya akan memberikan perhatian khusus terhadap isu terbabit bagi memastikan kempen berjalan lancar.

“Kita telah mengadakan pertemuan bersama wakil-wakil calon yang bertanding dan memberikan sedikit sebanyak apa perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan sepanjang kempen berlangsung terutamanya isu berkaitan 3R.

“Kita nasihatkan mereka untuk elakkan daripada menggunakan isu-isu ini sebagai kempen untuk meraih sokongan.

“Selain itu, kita turut meminta kerjasama semua parti bertanding dan para penyokong parti untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan seperti yang telah dipersetujui sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan di Jawi, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hamzah turut menasihati wakil parti bertanding untuk mengemukakan permohonan permit lebih awal bagi membolehkan pihak polis mengawal dan menyelia sesuatu ceramah atau perhimpunan sekali gus menjamin keselamatan sepanjang aktiviti terbabit berlangsung.

Setakat ini katanya, hanya satu permohonan permit yang diterima dan dijangka jumlah itu akan bertambah selepas selesai proses penamaan calon esok.

Dalam pada itu beliau berkata, seramai 800 anggota dan pegawai polis akan bertugas sepanjang PRK Sungai Bakap. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI