PETALING JAYA – “Tukang gunting kata, duit tu dia dapat malam raya. Ada orang potong rambut dan bayar dengan duit palsu”.
Itu perkongsian Pensyarah Fiqh Fatwa Semasa di Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim tentang nasib yang menimpa seorang tukang gunting, di Instagramnya, semalam.
Jelas beliau, kisah tersebut didedahkan lelaki berkenaan apabila disoal tentang wang RM50 yang tergantung di dinding kedai gunting miliknya.
“Dia (tukang gunting) yakin mungkin orang tu pun tak tahu, tapi dia punya hati banyak baik. Dia gantung dan tak nak guna sebab tak nak tipu orang lain pula.
“Dia kata biar dia rugi, jangan orang lain rugi pula. Hati-hati semua, banyak duit palsu sekarang,” tambahnya.
Namun di ruangan komen, rata-rata netizen menafikan ia adalah palsu, sebaliknya wang yang rosak.
“Duit rosak tu. Boleh tukar kat bank,” kata @asri_metalcore.
“Mungkin bukan duit palsu. Duit yang rosak dapat dari ATM (mesin pengeluaran wang automatik). Boleh bawa pergi bank, tukar,” ujar @razlianarazak.
“Duit rosak. Jual duit tu, ada harga,” kongsi @miconed_rajawali. – KOSMO! ONLINE