KUALA TERENGGANU – Gara-gara terperdaya dengan sindiket skim pelaburan Crypto, seorang pengurus sebuah syarikat petroleum di Dungun kerugian RM3.9 juta.
Mangsa berusia 53 tahun yang menyertai pelaburan tersebut pada Mac lalu tersebut menyedari tertipu apabila gagal mengeluarkan modalnya pada Isnin lalu sebelum membuat laporan polis semalam.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, pada mulanya lelaki tersebut menyertai kumpulan WhatsApp pelaburan setelah melihat iklan pelaburan menggunakan kecerdasan buatan (AI) di laman Facebook pada Disember tahun lalu.
“Pengadu mula membuka akaun pelaburan apabila diperkenalkan dengan pelaburan Crypto oleh kumpulan WhatsApp tersebut pada 16 Mac lalu.
“Dia mula melabur USD1,500 (RM7,072.12) sebelum menambah lagi USD200,000 (RM942,995.72),” katanya di sini hari ini.
Mohd. Khairi berkata, percubaan mangsa untuk mengeluarkan keuntungan pelaburan sebanyak USD300,000 (RM1,414,507.51) telah disekat dengan alasan perlu membuat pembayaran tambahan USD200,000 (RM942,995.72) terlebih dahulu.
Jelas beliau, sindiket itu mendakwa ia disebabkan kononnya akaun pelaburan mangsa telah dikategorikan sebagai pengguna VIP Gangsa.
“Mangsa juga ditakutkan kononnya akan didenda USD500,000 (RM2,357,565.24) sekiranya menarik diri daripada pelaburan itu.
“Dia juga ditawarkan kononnya akan memperolehi lebih keuntungan sekiranya membuat penambahan dana,” katanya.
Mohd. Khairi berkata, mangsa yang terperdaya terus membuat pindahan wang sebanyak RM942,995.72 ke akaun bank yang diberikan.
Begitupun beliau berkata, mangsa sekali lagi gagal untuk mengeluarkan modal pelaburan sebanyak USD1 juta pada 17 Jun lalu dengan alasan kononnya akaun mangsa dalam siasatan penggubahan wang haram oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat.
“Sebaliknya mangsa diminta membayar pula USD542,000.00 (RM1,188,252.83) sebelum hari ini (semalam) untuk mengelakkan wang pelaburannya dibekukan.
“Kali ini dia benar-benar sedar telah menjadi mangsa scammer (penipuan) dan membuat laporan polis,” katanya.
Mohd. Khairi berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE