fbpx

Pelaburan diluluskan Q1 2024 RM83.7 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Zafrul

PETALING JAYA – Malaysia merekodkan jumlah pelaburan diluluskan bernilai RM83.7 bilion merentasi pelbagai sektor bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini (Q1 2024), 13 peratus lebih tinggi berbanding RM74.1 bilion yang dicapai dalam tempoh sama tahun lalu.

Jumlah pelaburan diluluskan tersebut terdiri daripada 1,257 projek, yang dijangka bakal menjana 29.027 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat.

Pelaburan asing menyumbang 56.2 peratus daripada jumlah pelaburan, manakala pelaburan domestik membentuk baki 43.8 peratus.

Austria mendahului senarai negara pelabur asing dengan RM30.1 bilion pelaburan diluluskan, diikuti oleh Singapura (RM5.6 bilion), Belanda (RM3.6 bilion), China (RM3.4 bilion) dan Amerika Syarikat (RM632.8 juta).

Dari segi lokasi pelaburan mengikut negeri, Kedah mencatatkan nilai pelaburan diluluskan tertinggi (RM31.3 bilion), diikuti Kuala Lumpur (RM21.5 bilion), Selangor (RM12.4 bilion), Sarawak (RM4.2 bilion) dan Johor (RM4.1 bilion).

Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pencapaian tersebut mencerminkan kepercayaan pelabur terhadap Malaysia.

Menurutnya, menerusi kerjasama rapat dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pihaknya bukan sekadar telah menyampaikan angka pelaburan yang baik, malah kadar realisasi pelaburan yang pantas untuk segera diterjemahkan kepada peluang perniagaan untuk perusahaan kecil dan sederhana, serta pekerjaan untuk rakyat.

“Walaupun kami mengakui manfaat daripada penunjuk jangka pendek kepada landskap perniagaan kita, bukti sebenar daya saing Malaysia adalah pada aliran masuk pelaburan sebenar yang berterusan ke dalam sektor sasaran utama yang digariskan oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

“Ini termasuk dalam industri pertumbuhan tinggi seperti semikonduktor, pusat data, tenaga boleh diperbaharui dan kenderaan elektrik.

“Kami akan terus memberi tumpuan kepada pembaharuan perindustrian jangka panjang dan usaha dasar strategik lain untuk memupuk ekosistem pelaburan yang kondusif, serta memacu produktiviti dan pertumbuhan inklusif mampan yang akan membuka jalan bagi Malaysia menjadi salah satu daripada 30 ekonomi terbesar di dunia menjelang 2033,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI